addin

Fahamilah dalil, kaedah fiqah secara luas

Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

MELIHAT semula dalam siri lalu mengenai krisis metode pendalilan yang berlaku dalam kalangan sebahagian intelektual agama. Sebagaimana kita maklum, majoriti ulama Melayu sekian lama mengikut mazhab Syafii dan sudah tentu metode pendalilan mereka adalah menurut kaedah dan usul fiqah ulama Syafii. Justeru, jika ada mazhab lain yang datang dari luar tidak menghormati dan tidak memperdulikan aspek ini, pasti berlaku perbenturan antara metode pendalilan yang digunakan oleh kedua-dua pihak.

Kita mendapati pengamal mazhab Hanafi dari India, Pakistan dan Bangladesh nampaknya lebih memahami aspek ini. Namun, situasi berbeza dengan sebahagian mereka yang belajar dengan pengamal mazhab Hambali di Arab Saudi atau selainnya. Kesannya, berlaku perbenturan dalam pelbagai masalah furuk apabila mereka membawa metode pendalilan berbeza yang menghasilkan hukum bertentangan. Lebih parah, kumpulan ini mendakwa pandangan mereka sahaja yang sunah, manakala pandangan pihak lain yang tidak bertepatan dengan pandangan mereka sebagai bidaah.

Masalah ini disedari oleh beberapa pihak berkuasa agama negeri. Antaranya, keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang bertarikh 17 Julai 2014 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 31 Mei 2016 bersetuju memutuskan bahawa persoalan khilafiah adalah perkara ijtihadiyah dan tidak boleh sama sekali dihukumkan bidaah kerana amalan tersebut telah diterima dan menjadi amalan ulama muktabar sejak dahulu. Namun, segelintir kumpulan tadi tetap memprotes dan turut mengemukakan kaedah fiqah: 'Hukum asal bagi segala ibadah adalah haram atau dilarang'. Dalam huraiannya pula diletakkan had batasan yang cukup spesifik iaitu: 'kecuali mempunyai contoh daripada perbuatan Nabi SAW'. Ini bermakna segala amal ibadah yang tiada contoh atau tidak dibuat oleh Nabi SAW adalah haram atau dilarang. ‎

Berdasarkan pengamatan, kaedah dan huraian umum mereka ini sebenarnya diambil daripada sebahagian ulama Hambali. Walhal, ia bukanlah kaedah fiqah yang diterima secara umum oleh semua ulama lain tanpa sebarang perincian.

Sebenarnya kaedah yang disebut oleh sebahagian ulama Syafii, bahkan disebut oleh Ibn Taimiyyah ialah: 'Hukum asal bagi segala ibadah adalah tawqif (dalil wahyu)'. Maksudnya ia terhenti sehingga ada dalil yang membolehkannya sama ada daripada al-Quran atau hadis.‎ Dengan kata lain, ibadah tidak boleh dilakukan kecuali jika ada dalil yang menunjukkan ibadah itu disyariatkan. Ini bermakna segala amal ibadah yang ada dalil adalah dibenarkan. ‎

Kaedah ini lebih memberikan keluasan berbanding kaedah tadi yang tidak membezakan sama ada melibatkan ibadah mahdhah (yang ditetapkan) atau ibadah mutlaqah (yang tidak ditetapkan). Sedangkan kedua-duanya perlu diasingkan.

Ibadah mahdhah adalah ibadah yang ditetapkan kaifiatnya dan terikat dengan waktu, tempat, bilangan, cara atau keadaan tertentu serta ia tidak boleh ditambah atau dikurangkan seperti solat fardu, puasa Ramadan, zakat serta haji.

Sementara ibadah mutlaqah ialah ibadah yang tidak ditetapkan kaifiatnya serta tidak terikat dengan waktu, tempat, bilangan, cara atau keadaan tertentu, namun ada dalil atau keizinan secara umum daripada syarak, seperti zikir, doa, membaca al-Quran, selawat atas Nabi SAW dan seumpamanya. Maka, tidak mengapa dilakukan tanpa terikat dengan semua perkara itu selagi tiada dalil yang melarangnya. Bahagian ini juga terbuka kepada ijtihad berdasarkan kefahaman yang sahih dan tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunah. Ia termasuk amalan menerusi hadis daif, athar sahabat dan tabiin serta amalan solihin.

Kefahaman ramai ulama terhadap kaedah fiqah yang digunakan ini pastinya jauh berbeza dengan kefahaman segelintir kumpulan tadi. Jika diterima kaedah fiqah: 'Hukum asal bagi segala ibadah adalah haram atau dilarang', maka ia hanya melibatkan ibadah mahdhah sahaja yang tidak boleh ditambah atau dikurangkan.

Adapun ibadat mutlaqah, jelas bahawa segala amal ibadah yang mempunyai dalil walaupun secara umum adalah dibenarkan. Persoalan khilafiah dan banyak amalan ahli sufi adalah daripada kategori ini termasuk zikir dengan lafaz 'Allah' secara tunggal dan lafaz 'Hu' (Dia) yang juga kata ganti nama-Nya. Ini disebabkan antara rukun utama jalan tasawuf ialah zikir yang amat banyak dalil dan perintahnya secara umum baik dalam al-Quran mahupun hadis.

Adapun golongan ekstrem yang mencaci dan menyesatkan ahli sufi kononnya ingin memperjuangkan sunah, maka mereka hakikatnya hanya memperjuangkan kefahaman mereka yang sempit terhadap sunah disebabkan kejahilan terhadap metode pendalilan pihak lain, ketaasuban terhadap kumpulan dan kedinginan terhadap roh sunah sebenar.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Disiarkan pada: March 27, 2022 @ 5:59am
d