addin

Raih kecemerlangan Ramadan

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Diam tak diam kini kita berada pada separuh kedua Ramadan. Ini bermakna telah banyak hari kita berada dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Persoalannya, bagaimana dengan prestasi pelaksanaan ibadah puasa kita pada kali ini? Adakah sama seperti tahun-tahun lepas atau ada peningkatan dari sudut mutu ibadah puasa dan tuntutan Ramadan yang lain? Setiap Muslim perlu melakukan muhasabah diri agar setiap kekurangan dalam pelaksanaan ibadah wajib dan sunat sepanjang bulan Ramadan dapat diperbaiki.

Kita masih ada berbaki beberapa hari lagi sebelum Ramadan melabuhkan tirainya. Kita perlu muhasabah diri untuk memperbaiki mutu ibadah kerana ada ganjaran besar yang akan dikurniakan oleh Allah SWT pada malam Lailatulqadar yang pasti akan berlaku pada salah satu daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Hakikatnya misi Ramadan masih belum selesai, malah inilah waktunya untuk kita menggandakan usaha bagi meraih ganjaran besar pada bulan Ramadan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Suruhan agar umat Islam merebut ganjaran Lailatulqadar pada penghujung Ramadan menunjukkan bahawa Ramadan merupakan satu bulan yang sarat dengan peluang meraih ganjaran Ilahi. Peluang untuk meraih ganjaran daripada Allah SWT bertujuan untuk membebaskan diri daripada dosa yang pernah dilakukan selama ini.

Usaha menggandakan amalan pada malam Lailatulqadar dengan penuh ikhlas dan mengharapkan ganjaran daripada Allah melayakkan seseorang untuk mendapat pengampunan daripada-Nya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang berdiri (menunaikan solat) pada malam Lailatulqadar dengan (penuh) keimanan dan pengharapan (pahala), maka akan diampuni semua dosanya yang telah lalu." (Muttafaq 'alaih)

Syarat untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT mestilah didahului dengan usaha yang bersungguh-sungguh menghidupkan malam Lailatulqadar dengan amal ibadah. Pendek kata, keampunan daripada Allah SWT tidak datang bergolek, ia hadir dengan usaha daripada diri individu yang telah melakukan dosa dalam kehidupannya. 

Selagi mana seseorang individu tidak mensyirikkan Allah SWT, maka Dia membuka pintu keampunan seluas-luasnya sepertimana firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa pun) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar." (Surah an-Nisa', ayat 48)

Keampunan daripada Allah SWT merupakan satu misi kecemerlangan buat diri setiap Muslim. Ini kerana untuk memperoleh keampunan Ilahi, seseorang Muslim perlu berusaha ke arah itu, ia tidak datang bergolek. Terbukti bahawa pada bulan Ramadan banyak kecemerlangan yang telah dicapai oleh Islam dan umatnya seperti yang termaktub dalam lipatan sejarah.

Jelaslah bahawa Ramadan amat signifikan dengan bulan mencipta kecemerlangan. Meskipun umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan dengan tidak boleh makan dan minum pada waktu siang, namun hal tersebut tidak sama sekali menjadi alasan untuk diri melayan rasa lemah dan letih untuk melakukan sesuatu yang besar termasuk berada pada medan peperangan.

Perang Badar merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah Islam yang menyaksikan tentera  orang Islam menang meskipun mereka terdiri daripada jumlah yang kecil berbanding tentera musyrikin Makkah. Apatah lagi tentera umat Islam tidak memiliki kelengkapan perang yang lebih hebat jika dibandingkan musuh mereka.

Peristiwa yang berlaku dalam bulan Ramadan pada tahun kedua Hijrah tersebut menjadi bukti jelas bahawa setiap kemenangan perlu dimulai dengan usaha. Meskipun usaha tersebut pada mata kasar manusia tidak mampu untuk mencipta kemenangan, namun ketentuan Allah SWT mengatasi segalanya. 

Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam perang Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)." (Surah Ali 'Imran, ayat 123)

Kebesaran dan keagungan Allah SWT dapat mengatasi logik kebiasaan yang tergambar dalam minda manusia. Jika Allah SWT berkehendak untuk menganugerahkan kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, maka tidak ada kuasa yang dapat menghalangnya asalkan manusia berusaha bersungguh-sungguh dan tidak menyerah kalah.

Allah SWT berkuasa memberikan kemenangan kepada umat Islam walau apa juga keadaannya sekiranya Dia berkehendak kepada perkara tersebut. Allah SWT berfirman maksudnya: "Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu..." (Surah Ali 'Imran, ayat 160)

Pada bulan Ramadan juga berlaku satu peristiwa penting iaitu pembebasan Makkah daripada penaklukan golongan musyrikin. Peristiwa besar yang dikenali dengan nama Fathu Makkah ini berlaku pada tahun kelapan Hijrah. Peristiwa ini membuktikan kasih sayang Allah SWT kepada umat Islam yang menjadikan kota suci tempat wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW akhirnya berjaya menjadi milik umat Islam.

Benarlah bahawa kebatilan akan tetap tenggelam tatkala munculnya sinar kebenaran iaitu Islam. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap." (Surah al-Isra', ayat 81)

Kesemua contoh kecemerlangan Islam tersebut membuktikan semangat juang umat Islam pada bulan Ramadan. Ramadan adalah bulan kecemerlangan. Begitulah perkara penting yang perlu difahami dalam bab memohon keampunan daripada Allah SWT khususnya pada malam-malam terakhir bulan Ramadan. Walau apa pun dosa yang telah dilakukan, asalkan ia tidak melibatkan dosa syirik kepada Allah SWT, maka berusahalah untuk mendapat keampunan-Nya, pasti Allah SWT akan mengampuni setiap dosa tersebut.

Kesimpulannya, Ramadan tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam kelihatan lemah, tidak bermaya dan bermalas-malasan. Sebaliknya Ramadan merupakan wadah untuk mencipta kecemerlangan termasuk dengan melipatgandakan amalan khususnya pada sepuluh malam terakhirnya. Jika peluang keemasan sepuluh malam akhir tidak dimanfaatkan sebaiknya, bila lagi masanya untuk kita jadi Muslim cemerlang dengan bebas daripada dosa kehidupan?

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Disiarkan pada: April 20, 2022 @ 6:00am
d