addin

Pengorbanan tak ternilai

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Tanggal 12 Mei setiap tahun adalah hari yang dihargai oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia kerana hari terbabit diiktiraf sebagai Hari Jururawat Sedunia. Mengapa 12 Mei yang dipilih? Mesti ada sebab asbabnya?

Ya, 12 Mei bersempena tarikh kelahiran seorang tokoh barat yang bernama Florence Nightingle yang dimasyhurkan oleh dunia sebagai perintis kepada kerjaya kejururawatan era moden secara profesional. Tokoh masyhur yang berasal dari England itu dikatakan merintis bidang perawatan kepada pesakit ketika suasana perang meletus di Eropah.

Justeru, sebagai penghargaan tertinggi dunia untuk seorang wanita yang begitu gigih berkorban masa dan keringat sepenuhnya untuk memberikan rawatan pemulihan kepada pesakit menyebabkan pihak Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) menjadikan tarikh kelahiran wanita berkenaan sebagai Hari Jururawat Sedunia.

Sesungguhnya, bidang dan tugasan seseorang jururawat sangat besar dalam menyediakan khidmat untuk merawat pesakit di hospital. Sumbangan mereka seiring pentingnya dengan tugasan seorang doktor. Bak kata orang, di mana ada doktor, maka di situ adanya jururawat. Begitu eratnya perkhidmatan kejururawatan dengan kedoktoran dalam urusan merawat dan memberikan perkhidmatan kesihatan awam.

Pun demikian dalam kepekaan kita untuk menghargai jasa dan sumbangan besar wanita bernama Florence Nightingale itu kepada dunia dalam lapangan perawatan pesakit, kita tidak seharusnya lupa bahawa dunia Islam juga kurang hebatnya dalam mempelopori bidang kejururawatan itu. Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan dunia Islam lebih awal dan mendahului masyarakat lain dalam melahirkan banyak tokoh yang begitu prihatin dan berjasa besar untuk menyalurkan sumbangan merawat dan memulihkan keadaan pesakit.

Data sejarah menunjukkan bahawa jururawat Islam yang pertama bermula sejak zaman Rasulullah SAW apabila seorang tokoh Muslimah bernama Rufaidah binti Saad dilaporkan antara Muslimah terkehadapan dalam menghulurkan bantuan rawatan kepada pihak tentera yang mengalami kecederaan di medan tempur.

Rufaidah yang lahir pada 570M dan dikatakan wafat pada 632M diiktiraf sebagai tokoh jururawat Islam paling terkenal dan sentiasa memberikan bantuan perawatan buat tentera di medan perang dan hakikat itu didedahkan oleh seorang ilmuwan Islam Kontemporari, iaitu Prof Dr Omar Hasan Kasule ketika membentangkan kertas kerjanya di Persidangan Antarabangsa Kejururawatan Ketiga yang dilangsungkan di Brunei Darussalam pada 1998. Beliau merumuskan dapatan penyelidikannya bahawa Rufaidah adalah jururawat profesional pertama dalam sejarah Islam.

Diteliti daripada sisi biografinya memaparkan bahawa Rufaidah adalah anak kelahiran dari kaum Ansar yang tinggal di Madinah dan termasuk dalam golongan awal yang menerima Islam. Ayahnya seorang doktor. Jadi, tidak hairan apabila minat dan bakat dalam bidang perawatan pesakit itu tumpah dan menyelinap dalam jiwa Rufaidah.

Apabila kita mengkaji perjalanan hidup yang penuh sumbangan kemanusiaan sebagaimana dicurahkan oleh seorang Muslimah agung itu jelas menunjukkan bahawa bidang kejururawatan ternyata suatu bidang kerjaya yang dipelopori oleh umat biarpun tidak didendang oleh dunia sebagai pelopor ulung, namun secara hakikatnya Islam sudahpun memiliki catatan sejarah yang tiada siapa pun mampu memadamnya.

Perang Badar yang diikuti seterusnya Perang Uhud. Begitu juga ketika tercetusnya Perang Khandak dan Perang Khaibar memahat sejarah tersendiri dalam bidang kejururawatan Islam yang mana kaum Muslimah selain membantu barisan hadapan di medan tempur menentang musuh Allah, mereka juga menjadi tulang belakang untuk memberikan perkhidmatan rawatan dan memulihkan kecederaan yang dialami oleh tentera Muslim. Ia adalah sumbangtan besar yang seharusnya kita julang setingginya atas setiap keringat yang sudah mereka hulurkan.

Di samping Rufaidah, seorang lagi tokoh Muslimah yang tidak kurang hebatnya dalam bidang perkhidmatan kesihatan awam dan komuniti ketika zaman Nabi Muhammad SAW dahulu ialah Syifa' binti Abdullah Ibnu Abd Syams al-Quraisyiyyah al-Adamiyyah.

Beliau adalah Muslimah zaman Nabi SAW yang bukan sekadar hebat dalam bidang perawatan dan pengubatan ke  atas pesakit, malah beliau juga antara Muslimah yang celik huruf waktu dengan kemahiran menulis dan membaca yang sekali gus meninggalkan bekas jasa bakti yang bukan sedikit kepada sisi perjuangan Islam ketika di bumi Madinah itu.

Namun, seperti biasa keunggulannya dalam bidang kejururawatan dan perubatan itu juga tidak 'didendangkan' oleh masyarakat dunia. Lebih menyedihkan tidak kurang dalam kalangan masyarakat Islam sendiri pun kurang mengetahui mengenai dirinya. Kita lebih mengetahui dan kagum dengan Florence Nightingale daripada mengetahui secara detail terhadap jururawat ulung zaman Nabi SAW. Tidak salah kita kerana nama-nama Muslimah yang menjadi pelopor dan perintis dalam bidang kejururawatan itu tidak tercatatpun dalam mana-mana buku sejarah di sekolah. Seolah-olah mereka 'dihilangkan' daripada pandangan dunia.

Itu dari segi sejarah dan pensejarahan kejururawatan dunia baik peringkat global mahupun dalam dunia Islam sejak zaman Nabi SAW. Seperkara yang sangat perlu kita sedari dan sentiasa menghargainya tidak lain adalah betapa mulia dan tingginya sumbangan bakti seseorang jururawat kepada masyarakat.

Masyarakat di peringkat apa sekalipun sangat terhutang budi dengan perkhidmatan kejururawatan yang selama ini bekerja siang malam tanpa menghitung waktu. Demi amanah yang digalas, segala masalah peribadi diketepi semata-mata untuk melihat pesakit yang dirawatnya kembali berwajah ceria sebagai petanda mula sembuh seperti sediakala. Mungkin, tiada yang lebih menggembirakan hati seseorang jururawat melebihi tatkala melihat pesakit yang dirawatnya kembali sihat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Seseorang jururawat seperti juga seorang doktor, khidmat dan sumbangan bakti mereka amat diperlukan oleh masyarakat. Mereka 'pejuang kemanusiaan' yang berjihad di jalan Allah dengan menyalurkan apa yang terkudrat demi mewujudkan kehidupan yang sihat sejahtera.

Terima kasih tidak terhingga atas sumbangan bakti kalian, wahai jururawat dan kami seluruh warga Malaysia mengucapkan, 'Selamat Hari Jururawat Sedunia.'

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Disiarkan pada: May 11, 2022 @ 5:59am
d