addin

Yang pasti kiamat kian hampir

Oleh Addin

Mungkin ramai dalam kalangan pembaca yang pernah mendengar, membaca atau menjumpai penulisan berkaitan umur umat Nabi Muhammad SAW tidak melebihi 1,500 tahun.

  Biarpun tiada dalil khusus daripada Nabi SAW berhubung perkara berkenaan, namun terdapat kajian daripada ulama bahawa umur umat-umat terdahulu tidak melebihi 1500 tahun dan hasil penelitian berkenaan, diandaikan bahawa situasi sama berlaku kepada umat akhir zaman ini, Wallahualam.

  Berdasarkan buku 'Umr Ummat al-Islam (umur umat Islam) oleh Syeikh Amin Jamaluddin dari Mesir yang mengambil pandangan sesetengah ulama seperti Imam as-Suyuti dan lain-lain bahawa ditafsirkan daripada beberapa hadis dan athar, umur umat Islam (yakni tempoh kewujudannya) ini adalah antara 1400 hingga 1500 tahun.

  Sesudah pupus atau habis jangka hayat umat Islam, maka dunia hanya akan didiami oleh orang-orang kafir yang tidak mengenal Allah SWT.

  Mereka akan hidup dalam kegelapan sehingga berakhirnya umur dunia iaitu tiba Hari Kiamat yang memang tiada siapa tahu bilakah masanya.

  Berdasarkan satu kiriman daripada Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) Dr Mohd Khafidz Soroni menjelaskan bahawa ada yang keliru tentang perbezaan antara umur dunia dengan umur umat Islam.

  Maka, yang akan sampai atau tidak sampai ke tahun 1500 (Hijrah) ialah umur umat Islam, bukannya umur dunia.

  "Berdasarkan itu, tempoh atau jangka hayat umat Islam hanya tinggal lebih kurang lima hingga enam dekad sahaja lagi.

  "Ini bermaksud berdasarkan buku 'Umr Ummat al-Islam itu bahawa sebelum sampai tahun 1500H akan munculnya Imam al-Mahdi, Dajjal, Nabi Isa AS, perang besar Malhamah atau disebut juga 'Armageddon', Yakjuj Makjuj dan sebagainya. Ini adalah berdasarkan pendapat beliau itu.

  "Selepas dunia aman dan wafatnya Imam Mahdi dan Nabi Isa AS, manusia mula beransur-ansur kembali semula kepada kesesatan dan kekufuran," katanya.

  Beliau juga menyatakan bahawa sehinggalah akhirnya orang Islam semua dimatikan Allah SWT dengan angin 'maut' daripada Yaman.

  Mohd Khafidz berkata, selepas tahun 1500 (lebih kurang) tiada lagi umat Islam yang tinggal.

  "Tidak diketahui berapa lama generasi orang-orang yang kafir itu hidup sebelum tiba pula Hari Kiamat dan berakhirnya umur dunia. Tiada siapa yang tahu, hanya dalam beberapa athar disebut hingga 100 atau 120 tahun.

  "Pada hemat saya, ini sekadar dapat dijadikan iktibar dan renungan sahaja bukannya perlu dipegang sebagai asas akidah.

  "Pandangan Syeikh Amin memang mendapat kritikan daripada beberapa ilmuwan, beliau kemudian menjawab dan memberi respon balas dengan buku yang lain berjudul: Radd as-Siham.   

  "Beliau memperinci dan mengupas pandangannya dengan lebih luas berbanding penjelasan dalam buku pertamanya, 'Umr Ummat al-Islam," katanya.

  Imam as-Suyuti juga dikritik kerana berpegang dengan riwayat daif bahawa umur dunia ini hanya sekitar 7,000 tahun.

  "Menurut saya sekiranya sabit, kemungkinan maksudnya ialah bermula kiraan umur dunia itu sejak mula kewujudan manusia pertama di atas dunia, iaitu Nabi Adam AS.

  "Ini kerana dalam ilmu geologi moden, umur dunia sudah mencecah bilion tahun (4.54 bilion tahun).

  "Pendapat as-Suyuti turut disokong oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam kajiannya, On Justice and the Nature of Man.

  Beliau menegaskan tempoh hayat umat manusia secara keseluruhan sejak Nabi Adam AS hingga masa kini ialah sekitar 7,000 hingga 8,000 tahun sahaja serta pendapatnya turut disokong oleh seorang ahli pemikir, Prof Dr  Hafidzi Mohd Noor.

  Jika merujuk kepada data populasi dunia, pendapat itu juga mungkin ada logiknya.

  Misalnya dalam tempoh 200 tahun, iaitu antara tahun 1800 hingga 2000M, bilangan penduduk dunia berkembang dengan pesat daripada 1 bilion kepada 6 bilion.

  Ini bermakna pertambahan bilangan penduduk dunia sebanyak lima bilion orang dalam tempoh 200 tahun sahaja.

  Tidak dinafikan perkara ini akan terus menjadi perdebatan disebabkan tidak ada fakta dan dalil yang disepakati, kecuali yang jelas Hari Kiamat itu semakin dekat seperti hadis: "Antara aku diutuskan dan Hari Kiamat itu seperti dua jari ini (hampirnya), iaitu jari tengah dan telunjuk." (HR al-Bukhari dan Muslim)

  Justeru, mana-mana pihak yg membahaskan perkara ini tidak harus menggunakan pendekatan monopoli dalam menyatakan pandangan.

 

Penulis wartawan Harian Metro

Disiarkan pada: September 16, 2022 @ 7:00am
d