addin

Pembawa barah organisasi

Oleh Addin

Kehidupan manusia tidak terlepas daripada pelbagai ragam manusia. Golongan manusia yang baik sering ditindas oleh golongan yang disebut sebagai toksik. Perlumbaan mengejar kedudukan dan keuntungan diri semata-mata menjadikan golongan toksik sentiasa mengambil peluang tanpa memikirkan perihal orang lain yang berusaha gigih bagi mencari keberkatan dalam pekerjaan. Sedangkan bagi golongan toksik ini mereka langsung tidak mempunyai rasa malu bahkan tidak segan silu apabila pencapian yang diperoleh bukan daripada usaha mereka. Mereka sedaya upaya menampakkan keindahan luar biasa ketika keberadaan bos dan menzahirkan sikap sebenar mereka di belakang bos.

Dalam lapangan pekerjaan, kita sering terlihat gelagat sebahagian rakan sekerja yang mempunyai pembawaan 'toksik' dalam amalan pekerjaan seharian. Toksik membawa konotasi yang negatif merujuk kepada sesuatu yang beracun dan mempunyai kesan buruk terhadap alam sekeliling. (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Pemilihan kata 'toksik' ini satu analogi yang menggambarkan situasi yang tidak mesra alam dan lebih bahaya lagi ia mendatangkan mudarat yang besar terhadap ketenteraman di dalam organisasi. Islam mengingatkan kepada kita menerusi hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah orang yang Muslimin selamat daripada lisan dan tangannya dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis ini menuntut supaya setiap Muslim sentiasa menjaga lisan dan perbuatannya daripada menyakiti atau mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Rasulullah SAW juga bernah ditanya berdasarkan riwayat Abu Musa RA iaitu: "Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama? Rasulullah menjawab, 'Siapa yang golongan Muslimin selamat daripada lisan dan tangannya." (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, setiap Muslim perlu menjadi seorang yang memiliki akhlak dan keperibadian yang murni serta mendatangkan ketenteraman di dalam organisasi.

Pekerja yang memiliki 'toksik' sebenarnya dapat dilihat dan sudah dikenal pasti ciri-ciri berkenaan memandangkan ia sesuatu yang wujud dan dilazimi oleh pengamalnya. Bagi mengenal pasti 'toksik' itu, terdapat beberapa ciri-ciri yang boleh diperhatikan supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan.

Pertama, ialah suka membodek demi mendapat pujian dan sanjungan pihak atasan walaupun hakikatnya ramai rakan sekerja mengetahui bahawa di belakang pihak atasan pelaku berkenaan banyak membuat onar dengan menyebut pelbagai kelemahan dan kekurangan pihak atasan.

Kedua, pelaku 'toksik' ini akan mengambil kesempatan di hadapan pihak atasan untuk memperkecilkan dan merendah-rendahkan seseorang yang dianggap menjadi pesaing atau musuh terdekatnya dengan cara menjatuhkan reputasi seseorang itu. Keadaan ini dilihat bagi pelaku 'toksik' dapat membuka peluang untuknya agar cepat dinaikkan pangkat dan dianggap jalan pintas tanpa perlu melalui persaingan yang sihat. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk."(Surah al-Hujurat, ayat 11)

Ketiga, pekerja 'toksik' ini bijak memanipulasi keadaan demi kepentingan peribadinya. Pelaku ini biasanya akan mengambil peluang atas usaha dan idea orang lain dan mendakwa hasil yang diperoleh adalah miliknya. Pelaku ini hakikatnya tidak sedar diri dan cuba menipu pihak atasan dengan mendakwa hasil kejayaan yang diperoleh adalah usaha gigihnya sedangkan yang berusaha menghasilkan kejayaan tersebut adalah orang lain.

Keempat, amalan iri hati, tamak haloba dan khianat jadi pegangan dan rukun yang wajib ada bagi pelaku 'toksik' ini. Golongan 'toksik' tidak malu mencuri hasil usaha orang lain demi mengejar keuntungan terhadap dirinya. Jika ada orang lain yang mempunyai idea dan bakat yang mantap, golongan 'toksik' ini akan cuba mengambil dengan cara tidak terhormat dan cuba membawa idea berkenaan lebih awal kepada pihak atasan sedangkan pihak yang telah ditipu dan dikhianati itu adalah pemilik idea tersebut. Keadaan ini sering berlaku apabila seseorang yang sepatutnya diberikan penghargaan tidak mendapat penghargaan atas idea berkenaan bahkan diberikan kepada golongan 'toksik'.

Kelima, golongan 'toksik' mudah dikenal pasti melalui amalan kerja mereka. Golongan 'toksik' ini sebenarnya kurang produktif dan tidak aktif dalam melaksanakan pekerjaan. Dalam pelbagai situasi, dapat dilihat golongan 'toksik' ini cenderung untuk mengambil kesempatan atas kegigihan orang lain. Mereka sendiri tidak mampu menghasilkan keberhasilan yang baik dalam pekerjaan mereka. Golongan 'toksik' ini sebenarnya barah yang akan menjahanamkan organisasi dan seterusnya mendatangkan kemudaratan besar terhadap orang yang kuat dan baik dalam amalan kerja.

Oleh itu, sebagai langkah pencegahan awal terhadap golongan 'toksik' ini maka sudah pasti setiap pekerja bawahan mahupun atasan sentiasa peka dengan ciri-ciri yang dinyatakan. Jika ciri-ciri ini sudah dikenal pasti maka cuba jauhkan diri daripada golongan terbabit kerana dibimbangi akan membawa kepada jangkitan 'toksik' yang serupa ataupun akan mendatangkan perbalahan dan permusuhan dalam pekerjaan. Sewajarnya seseorang yang bekerja perlu bijak mengenal pasti golongan 'toksik' ini agar hidup lebih aman dan tenteram. Selain itu, tanamlah azam dan tekad dalam diri supaya tidak termasuk dalam kalangan 'toksik' dan semoga pekerjaan itu mendatangkan hasil kerja yang berkat lagi diredai Allah SWT.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis

Disiarkan pada: November 4, 2022 @ 7:01am
d