addin

PRU-15: Buatlah pilihan terbaik

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Urusan memilih pemimpin menerusi pilihan raya merupakan perkara penting kerana ia melibatkan kemaslahatan negara. Malah usaha memakmurkan negara sejajar dengan ketetapan Islam juga berkait dengan pemimpin dan pegangan kepemimpinan mereka yang dipilih semasa pilihan raya. Keadaan yang melanda negara pasca PRU-14 menunjukkan berlaku pergolakan dalam kepemimpinan negara yang menyebabkan beberapa perkara tergendala malah ekonomi negara terjejas tambahan pula dalam keadaan negara berdepan wabak Covid-19.

Kini tiba masaniya rakyat diminta untuk menunaikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Rata-rata pihak yang terlibat dalam PRU-15 sebagai calon mewakili parti masing-masing melaungkan justifikasi bahawa pilihan raya kali ini bertujuan membentuk kerajaan yang lebih stabil. Hasrat yang sama diinginkan oleh semua rakyat negara ini dengan harapan para pemimpin yang terpilih nanti sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang dapat melunaskan tanggungjawab sebaiknya memastikan negara tercinta ini kekal makmur dan diberkati oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran tentang negeri Saba' yang maksudnya: "Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun." (Surah Saba', ayat 15)

Walau bagaimanapun, penduduk negeri yang menerima kurniaan Allah SWT tersebut telah kufur serta ingkar kepada perintah-Nya, lalu akhirnya mereka ditimpa balasan buruk dengan dimusnahkan kemakmuran yang dinikmatinya. "Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya dan pohon-pohon yang jarang berbuah serta sedikit pohon-pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang yang amat kufur." (Surah Saba', ayat 16-17)

Menginsafi intipati ayat-ayat Allah SWT dalam surah Saba' tersebut, maka semua pihak sama ada bakal pemimpin dan juga rakyat perlu melaksanakan tanggungjawab sebaiknya bagi memastikan Malaysia terus dilimpahi keberkatan daripada-Nya. Dalam konteks PRU-15, peranan rakyat yang layak mengundi sangat penting bagi memastikan proses pemilihan pemimpin berjalan dengan baik dan keputusannya nanti menggambarkan suara majoriti yang kuat.

Oleh itu, bagi rakyat yang telah layak mengundi, usahakanlah untuk menjalankan tanggungjawab demi memastikan pemilihan kali ini berjalan dengan baik dan hasilnya membawa kebaikan kepada semua. Inilah satu bentuk pengorbanan yang perlu dilihat oleh para bakal pemimpin yang akan mengurus pentadbiran negara.

Sesungguhnya rakyat telah mengorbankan masa, tenaga malah wang ringgit untuk memilih pemimpin yang terbaik. Justeru, usah ada lagi yang mengambil kesempatan mementingkan diri sendiri tatkala telah berjaya menjadi pemimpin. Kenangkanlah usaha dan pengorbanan rakyat yang dibuat untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Pemimpin yang baik akan menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda utama kepemimpinannya.

Rasulullah SAW berdoa mengenai pemimpin yang mafhumnya: "Ya Allah, sesiapa sahaja yang mengurus urusan umatku, lalu dia membuat susah terhadap umatku, maka susahkanlah dia. Dan sesiapa sahaja yang mengurus urusan umatku, lalu dia sayang pada umatku, maka sayangilah dia." (Hadis riwayat Muslim)

Sering kali dimaklumkan semasa keputusan pilihan raya diumumkan, terdapat sejumlah undi rosak yang tidak diambil kira. Perkara ini mungkin sahaja berlaku disebabkan adanya individu tertentu yang membuat keputusan untuk tidak membuat pilihan dengan betul. Ada juga yang tidak mendapat maklumat tepat tentang tatacara pengundian. Hal ini perlu difikirkan semula kerana urusan memilih pemimpin bukanlah urusan yang boleh dipersiakan kerana ia merupakan tanggungjawab setiap rakyat Malaysia.

Berfikirlah dengan mengambil kira banyak faktor agar dapat membuat pilihan terbaik. Mungkin tidak ada seorang pun calon yang difikirkan sesuai untuk dipilih, namun janganlah pula mengambil pendekatan mensia-siakan peluang kerana proses mengadakan PRU-15 pastinya menelan kos yang sangat tinggi. Elakkanlah diri daripada terlibat dengan undi rosak kerana ia boleh jadi akan menyebabkan orang yang tidak layak diangkat menjadi pemimpin negara.

Bagi memastikan diri dapat membuat pilihan terbaik, berusahalah mendapatkan maklumat yang benar menerusi pelbagai sumber maklumat yang sahih. Sesungguhnya usaha untuk memilih pemimpin bukanlah usaha yang boleh dipandang remeh kerana pemimpin yang baik boleh meninggikan kedudukan Islam di negara ini. Sebaliknya pemimpin yang tidak mementingkan Islam akan menyebabkan agama Islam tidak tinggi di negara Malaysia yang dicintai ini.

Dalam usaha untuk memilih pemimpin, umat Islam juga perlu bertindak mengikut akal fikiran yang waras. Elakkan membuat keputusan mengikut hawa nafsu yang akhirnya menyebabkan orang yang tidak layak menjadi pemimpin diangkat sebagai pemimpin negara. Sekiranya segala aspek telah diambil kira, dan keputusan telah dibuat semasa membuat pilihan, maka bertawakallah kepada Allah SWT.

Walau bagaimanapun, rakyat terus berhak untuk berpegang kepada prinsip yang digariskan oleh Islam berkaitan pemimpin dan kepemimpinan. Meskipun tugas rakyat ialah mentaati pemimpin, namun tiada istilah taat kepada pemimpin bagi perkara maksiat yang melanggar batasan ketetapan Islam. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang mafhumnya: "Mendengar dan mentaati (kepada pemimpin) adalah wajib bagi setiap Muslim, baik (terhadap perkara) yang dia sukai mahupun yang tidak dia sukai, selama dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Adapun jika dia diperintahkan melakukan maksiat, maka tidak ada kewajiban untuk mendengar dan mentaati (kepada pemimpin iaitu dalam perkara maksiat tersebut)." (Muttafaq 'alaih)

Kesimpulannya, rakyat dan pemimpin perlu berganding bahu melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memakmurkan negara Malaysia. Ketika ini, rakyat berusaha melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memilih pemimpin. Selepas tamatnya PRU-15 nanti, para pemimpin usah mendustai kata-kata mereka sendiri sepanjang musim berkempen. Jika setiap pihak berganding bahu dalam melakukan kebaikan dan ketaatan, maka pastinya rahmat Allah SWT akan diturunkan kepada semua dan Malaysia terus makmur dan diberkati.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Surah al-Ma'idah, ayat 2)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Disiarkan pada: November 15, 2022 @ 5:05am
d