agro

Jimat belanja dapur, jana ekonomi

Keluasan terhad bukan halangan buat Mohd Azman Bakar, 49, menanam pelbagai jenis sayuran di halaman rumahnya.

Bijak memanfaatkan ruang, kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Perak ini menanam 32 pelbagai sayuran dan buah, herba serta ulam seperti sawi, kangkung, bendi, kailan, kucai, bayam, anggur, petola, labu air, cabang tiga, pucuk bebuas serta putat sejak 2003.

Menurut Mohd Azman, usahanya itu bermula sebagai hobi kini menjadi punca pendapatan sampingan apabila tanaman itu hidup subur dan mengeluarkan hasil yang banyak.

“Matlamat utama saya mahu mendidik masyarakat setempat mendalami pertanian biarpun mempunyai ruang terhad sekali gus membantu mengurangkan belanja dapur.

“Saya hanya minat bercucuk tanam dan tugas sebagai penolong pegawai pertanian daerah juga antara pendorong utama mengusahakan kebun ini kerana ia bertujuan mendidik dan memberi contoh kepada mereka yang berminat.

“Selain itu, saya juga sarankan kepada kakitangan yang tinggal di kuarters untuk buat seperti ini dan secara tidak langsung ia dapat menjaga halaman rumah selain mengindahkan landskap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuarters Penjawat Awam, Lorong Tok Perdana, Sitiawan, Perak, baru-baru ini.

Kata Mohd Azman yang juga ikon pertanian bandar Jabatan Pertanian Negeri Perak, beliau dibantu isteri, Engku Zaharah Ramli, 42, menguruskan tanaman dan menjual hasil kebun yang dipetik terus dari kebun hingga mampu memberikan pulangan mencecah RM620 sebulan.

“Kebetulan isteri berniaga nasi lemak dan kuih-muih di tepi rumah jadi kami turut menjual hasil kebun kepada orang ramai bagi mendapatkan sayuran segar.

“Bukan saja menjimatkan belanja dapur, ia dapat meningkat ekonomi selaras dengan konsep ‘tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam’ dan selebihnya jual.

“Menerusi insiatif ini, saya dapat ketengahkan kepada masyarakat biarpun ruang terhad masih boleh dimanfaatkan mengikut kreativiti dan alternatif sendiri seperti menggunakan raga atau pasu untuk tanam sayur,” katanya.

Mohd Azman berkata, dalam pengurusan tanaman media tanaman atau batas perkara penting yang perlu difokuskan dan ia perlu mempunyai campuran bahan seperti pasir, tanah serta najis ayam.

“Selain menggunakan baja biasa, saya juga guna air basuhan beras dan ikan untuk mengelak serangga dengan menyembur air yang dibuat daripada kisaran bawang putih serta cili padi.

“Setiap mereka yang mahu bertani mesti mempunyai ilmu dan atas sebab itu saya tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada sesiapa melawat kebun untuk melihat dengan lebih dekat serta belajar cara pengurusan tanaman,” katanya.

Tanaman hijau yang menghiasi halaman rumah Mohd Azman itu bukan sahaja memberi suasana nyaman, malah pernah memenangi anugerah Landskap Kediaman Inovatif daripada Jabatan Pertanian Negeri Perak pada tahun lalu. -Noor Hidayah Tanzizi

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 1:48pm
d