agro

Tauke cendawan tiram kelabu

Oleh Rodly Fadly

Jika diukur pada usianya, Wan Razman Wan Hassan, 45, masih mempunyai masa selama 15 tahun sebelum bergelar pesara berdasarkan umur persaraan sekarang 60 tahun.

Namun, kerani di institusi perbankan itu sudah membuat persiapan awal untuk melalui fasa persaraan dengan mengusahakan cendawan tiram kelabu secara sambilan.

Bagi Wan Razman, persiapan itu sangat penting, apatah lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu sekarang di mana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Bermula secara kecil-kecilan di belakang rumah kira-kira 10 tahun lalu, Wan Razman kini semakin yakin mengusahakan secara lebih serius di atas sebidang tanah yang disewa di Batu 9, Gombak, Selangor.

Mengakui tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang pertanian, Wan Razman mendedahkan dia mula tertarik untuk menceburi perusahaan cendawan selepas menonton rancangan pertanian di televisyen.

“Apa yang menarik minat saya adalah proses penghasilan cendawan sangat mudah serta tidak memerlukan ruang yang luas.

“Bahan yang diperlukan hanya habuk kayu, dedak, kapur dan benih. Pada masa sama, kita tidak perlu membanting tulang dan berpanas terik kerana diusahakan di dalam rumah pelindung hujan (RPH).

“Ia juga tidak memerlukan modal yang besar. Sebagai seorang yang langsung tidak mempunyai ilmu pertanian, sebagai permulaan elok saya mencuba sesuatu yang ringkas dan mudah serta tidak berisiko tinggi,” katanya.

Menurutnya, selepas mendapat khidmat nasihat dan menuntut ilmu daripada seorang pegawai pertanian, dia memulakan pengusahaan cendawan di belakang rumah dengan menyediakan 5,000 bongkah benih.

“Ternyata hasilnya sangat memberangsangkan walaupun saya hanya memasarkan kepada jiran tetangga dan kawan.

“Pada awalnya, saya mengusahakan cendawan sekadar suka-suka bagi menambah pendapatan, namun sekarang saya menganggapnya sebagai persediaan untuk masa depan selepas bersara,” katanya.

Beliau berkata, sejak empat tahun lalu, dia menambah 40,000 bongkah yang mampu menghasilkan 1,000 kilogram (kg) cendawan sebulan.

“Jumlah itu masih tidak mampu menampung permintaan yang semakin bertambah sejak kebelakangan ini. Buat masa ini, pengeluaran hanya mampu menampung beberapa pelanggan tetap sedangkan pasaran cendawan sangat luas.

“Apa yang saya usahakan sekarang hanya dalam skala sederhana. Saya yakin cendawan boleh memberi pulangan lumayan jika diusahakan secara lebih serius.

“Oleh itu, saya menyasarkan 100,000 bongkah bagi meluaskan pasaran di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Menceritakan proses penghasilan cendawan, Wan Razman berkata, bahan adunan serbuk dalam bongkah dikukus dan dimasukkan benih cendawan sebelum diperam selama sebulan.

“Apabila benih yang diperam itu mula mengeluarkan hasil, ia berterusan selama empat hingga lima bulan jika dijaga dengan baik.

“Bagi memastikan cendawan dapat memberi hasil maksimum serta berkualiti, suhu di dalam rumah tanaman ini perlu berada dalam keadaan yang lembap iaitu di bawah 28 darjah Celsius.

“Selain itu, saya memasang jaring bagi mengelak serangga memasuki zon ini kerana jika tidak dikawal, serangga boleh menjadi ancaman kepada cendawan,” katanya.

Mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sosial Facebook iaitu Empayar Teguh Trading.

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 2:29pm
d