agro

Abd Razak nekad ubah nasib

Keputusannya berhenti kerja dibuat sejak setahun lalu tidak pernah dikesali, bahkan dengan bantuan mentor yang berpengalaman dalam bidang pertanian memberi peluang besar kepada bekas juruteknik sebuah syarikat automobil menceburi bidang menguntungkan itu.

Percaya akan rezeki Allah kepada yang berusaha, Abdul Razak Abdul Rahman, 38, tidak menoleh ke belakang, sebaliknya membulatkan tekad menanam cili centil yang sentiasa mendapat sambutan tinggi di pasaran tempatan.

Menyedari kelebihan budaya makan sambal kicap dalam kalangan penduduk di Johor, pasaran cili centil terbuka luas untuk diteroka, apatah lagi harga ditawarkan sangat mengujakan hingga mencecah RM24 sekilogram ketika ini.

Berkongsi kisah kerjaya barunya, Abd Razak yang berkhidmat lebih 17 tahun mengakui terpaksa berfikir panjang kerana keputusan memulakan bidang baru bukan mudah lantaran membabitkan ekonomi dan sumber kewangan keluarga.

Jika tidak diatur sebaik mungkin pastinya jendela perubahan tidak terbuka, sebaliknya kegagalan menanti dan akhirnya impian sekadar angan-angan Mat Jenin.

Namun bagi Abd Razak, dorongan isterinya, Suhaila Bahari, 35, yang sentiasa berdiri teguh di belakangnya membulatkan tekad dirinya untuk pulang ke negeri kelahirannya dan mengusahakan ladang cili centil di Kampung Kota Dalam, Ayer Hitam, Johor.

“Saya bertuah memiliki isteri yang memahami. Tanpa semangatnya sudah pasti kekuatan itu tidak hadir, lebih-lebih lagi keputusan berhenti kerja membabitkan masa depan keluarga.

“Beliau juga mahu melihat saya berdikari dan tidak hanya bergantung kepada makan gaji serta hidup selesa dengan apa yang ada,” katanya ketika ditemui di ladang milik keluarganya di Kampung Kota Dalam, Ayer Hitam, Johor, baru-baru ini.

Abdul Razak juga bertuah kerana mendapat bimbingan daripada rakan sekampung yang juga ikon pertanian berjaya, Sheikh Mohd Noh Sheikh Hassan, selain sanggup berkongsi petua dalam sektor baru diceburinya itu.

“Selaku ‘mentee’, bimbingan berterusan daripada mentor pertanian yang juga jiran sekampung memudahkan saya mengusahakan tanaman cili centil dari peringkat awal hingga tuaian dan pemasaran.

“Pembabitan lama mentor kira-kira 12 tahun banyak membantu dalam menyalurkan ilmu pertanian, malah sikapnya yang mahu berkongsi ilmu sangat terpuji.

“Saya masih ingat kata-katanya, ‘kalau kita ada ilmu, mengapa perlu disimpan’. Nabi Muhammad SAW juga katanya menggalakkan ilmu bermanfaat disebar-sebarkan,” katanya mengakui niat baik mentornya yang mahu berkongsi kejayaan itu bersama-sama.

Katanya, dengan wang simpanan sepanjang bekerja, dia mengusahakan tanaman cili centil berkeluasan 0.2 hektar.

Projek pertama selama enam bulan diusahakan bermula Julai tahun lalu menampakkan pulangan memberangsangkan hingga mengeluarkan hasil mencecah satu tan cili centil.

“Kini fasa kedua bermula pada Januari lalu dengan pengeluaran hasil dijangka meningkat dan kini tempoh penanamannya berada di penghujung,” katanya.

Berkongsi ilmu, bapa kepada tiga anak itu berkata, kos bagi setiap pokok juga tinggi mencecah RM27 sepokok termasuk 1,000 unit pokok lada, alat drip, polibeg dan sabut kelapa.

“Pokok lada pula ‘kalah’ dengan hujan, lebih-lebih lagi jika terkena hujan asid menyebabkan pengusaha perlu lebih berhati-hati selain turut perlu meletakkan racun kulat mengikut sukatan dibenarkan,” katanya.

Dia juga beruntung kerana mempunyai jiran sekampung terutama kalangan suri rumah yang mahu bekerja sambilan memetik buah itu dengan kadar upah RM2.50 sekilogram.

“Ini juga cara saya berkongsi rezeki, lebih-lebih lagi tugas memetik cili centil memerlukan kemahiran bagi mengelak pokok rosak,” katanya yang menggaji enam hingga tujuh pemetik setiap musim.

Menurutnya, dia kini mempunyai pemborong serta pembeli individu yang datang ke kebunnya bagi mendapatkan cili berkenaan dengan tawaran harga bergantung kepada pasaran semasa dan juga harga borong.

“Kebanyakan pelanggan saya dalam kalangan peniaga di sekitar Parit Raja dan Batu Pahat, malah ada juga yang datang sendiri ke kebun,” katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Datuk Menteri, Ayer Hitam.

Berkongsi kelebihan berstatus petani, katanya, banyak masa ditumpukan kepada keluarga, selain lebih bebas mengatur jadual harian sendiri berbanding makan gaji.

“Itulah kelebihan yang saya nampak dan jika mahu gaji lebih, maka kita perlu lebih berusaha,” katanya yang juga merancang untuk menghasilkan anak pokok sendiri di kebun miliknya itu.

Untuk perancangan masa depan, dia juga mahu meluaskan projek tanaman cili centil di tanah kebun milik keluarganya, selain ingin menggunakan khidmat agensi pertanian termasuk Jabatan Pertanian. - Mohd Sabran Md Sani

Disiarkan pada: May 23, 2017 @ 2:31pm
d