agro

Ketupat palas sejuk beku

Oleh Mohamad Hussin

“Saya mula ‘terjebak’ dalam dunia perniagaan ini selepas melihat ketupat palas yang disimpan dalam peti sejuk di rumah mentua boleh tahan sampai setahun.

“Malah apabila dikukus semula ia masih elok dan boleh dimakan pada hari raya berikutnya,” kata pengusaha ketupat palas sejuk beku, Hashimah Hashim, 53, dari Abi Kampung Tengah, Kangar, Perlis.

Mula beroperasi pada 2009, Hashimah menubuhkan syarikat ABY Food Enterprise (ABY), dengan mengeluarkan modal permulaan RM5,000 secara kecil-kecilan di rumah.

Berkat kesabaran dan sentiasa percaya pada rezeki, kini perusahaan ketupat palas sejuk beku mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Menurutnya, buat masa ini, terdapat ketupat palas pulut lemak, pulut jagung, pulut hitam, kacang dan yang terbaru dalam perancangan ialah pulut pelam sejuk beku.

“Apa yang istimewa ketupat palas sejuk beku ini boleh bertahan selama 30 jam walaupun tidak disimpan dalam peti sejuk. Malah ia tidak mempunyai bahan pengawet.

“Permintaan bertambah setiap kali musim perayaan seperti hari raya puasa dan hari raya haji serta tempahan kenduri kahwin serta pelbagai majlis yang diadakan di sekitar kampung.

“Ketika itu, saya tiada kaedah untuk menyimpan stok yang banyak. Bimbang jika dibuat dalam kuantiti yang banyak, tetapi kaedah penyimpanan yang tidak betul, ia boleh menjejaskan kualiti ketupat itu sendiri,” katanya.

Menurut usahawan di bawah bimbingan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu, dia berterima kasih kepada agensi berkenaan kerana menyediakan bilik sejuk dan mesin pendingin dalam bentuk geran bernilai kira-kira RM120,000.

“Sebagai usahawan bimbingan MARDI sudah pasti banyak khidmat nasihat diperoleh, selain pembangunan produk, pembungkusan dan teknologi terkini.

“MARDI juga memberikan teknologi berkaitan ketahanan produk dan kursus berkaitan industri perusahaan makanan terutama sejuk beku,” katanya.

Katanya, selain ketupat palas, syarikatnya juga ada menyediakan rendang daging sejuk beku, serunding ikan serta biskut kacang tanah dan biskut bangkit kelapa.

“Satu kotak ketupat palas mengandungi antara 15 hingga 17 ketul seberat 500 gram. Ia tidak perlu menunggu masa lama untuk dikukus selepas dinyahbekukan,” katanya yang dibantu anak perempuannya, Amy Rodzi, 30.

Selain pasaran di utara tanah air, syarikat ada menjual ketupat palas di pasar raya Pak Haji, di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dan Agrobazaar Singapura.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan ketupat palas sejuk beku boleh membuat tempahan melalui online dengan melayari Facebook abyfood atau emel abyfoodenterprise@gmail.com.

Disiarkan pada: June 13, 2017 @ 3:38am
d