agro

Bantu pengembangan minda

Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar

Enam pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menghasilkan produk minuman coklat ‘Brainy Moo’ untuk semua peringkat usia.

Produk berkhasiat itu dihasilkan sekumpulan pelajar tahun dua jurusan Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal iaitu Azfar Husni Idris, Muhammad Azrin Abd Jamil, Nur Raihan Ridzuan, Nur Diyana Sharin, Mohd Amiruddin Zahari dan Muhamad Syazwan Norihan sejak tahun lalu.

Minuman berperisa coklat itu adalah satu-satunya produk dihasilkan USM yang terpilih ke peringkat akhir pertandingan Perintis Usahawan Koperasi (HI-PER) daripada 150 penyertaan seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Ketua projek Brainy Moo Azfar Husni berkata, penghasilannya bermula pada Jun tahun lalu dengan modal RM30,000.

Beliau berkata, ia membabitkan Koperasi Siswa USM Kejuruteraan Nibong Tebal Berhad (KOSISWA) dengan syarikat pengeluaran dan pembungkusan produk Asia One Product Manufacturing Sdn Bhd.

“Sebelum ini, kami mengeluarkan produk perniagaan minuman berkhasiat berasaskan kopi dan mendapat sambutan memberangsangkan, sekali gus memperluaskan operasi dengan memperkenalkan produk baru ‘Brainy Moo’.

“Minuman coklat ini diformulasikan warga Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral dirumus khas untuk semua peringkat usia.

“Ia diperkaya dengan ginkgo biloba bagi membantu pengembangan minda supaya lebih fokus serta mampu menguatkan daya ingatan ketika proses pembelajaran,” katanya.

Majlis pelancaran produk Brainy Moo disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USM Prof Datuk Dr Adnan Hussein di foyer Kompleks Cahaya Siswa, USM, Minden, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi KOSISWA Prof Madya Ahmad Badri Ismail.

Program HI-PER anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Azfar berkata, bahan utama menghasilkan minuman ini merangkumi buah koko yang berupaya memberikan tenaga berpanjangan selain memberi kenikmatan dari segi kelazatan serta madu bagi mengurangkan jumlah gula.

“Coklat itu mengandungi kurma yang kaya dengan serat dan potassium serta amat baik untuk pelawasan dan menyeimbangkan kembali kandungan air dalam tubuh.

“Buah delima mampu membersihkan kerongkong, perut dan paru-paru, manakala stevia pula sebagai pemanis menggantikan gula dan minuman berkenaan dijual RM26.70 sekartun mengandungi 14 peket,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 2:34pm
d