agro

Jom bercucuk tanam

Oleh Mohd Amin Jalil

Dalam usaha menggalakkan lebih banyak pihak terbabit dalam sektor pertanian, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seremban menjayakan projek amal apabila menarik penyertaan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Taman Panchor Jaya Seremban.

Malah, PPK itu menjadi yang pertama di Negeri Sembilan menjayakan projek pertanian apabila mengusahakan tanaman cili kulai dan rock melon secara fertigasi itu dijalankan di lokasi berhampiran bangunan PPK terbabit, di Batu 10 Labu Seremban.

Ia membabitkan kawasan keseluruhan seluas dua hektar dengan projek bermula awal tahun ini.

Pengurus Besar PPK Seremban Mohd Khairul Abd Rahim berkata, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah yang pertama dijalankan dengan pembabitan PDK menerusi Program Azam Tani anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Katanya, tanaman cili kulai membabitkan 4,000 pokok sementara rock melon sebanyak 8,000 pokok dengan modal daripada peruntukan MOA RM135,000 termasuk kos prasarana.

“Segala input pertanian seperti baja dan peralatan dikendalikan sepenuhnya PPK.

“Menerusi kerangka asal projek ini, keuntungan dibahagikan kepada 40 peratus (PPK) dan 60 peratus (PDK) selepas ditolak segala kos operasi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memilih penanaman secara fertigasi kerana ia antara kaedah terbaik dan mudah selain mampu memberi pulangan yang baik.

Malah, sistem itu bukan asing dalam sektor pertanian kerana banyak dipraktikkan masyarakat petani di negara ini.

Mohd Khairul berkata, cili kulai dipilih kerana buah itu mempunyai nilai pasaran yang stabil sementara rock melon pula sentiasa mendapat permintaan tinggi terutama di kawasan bandar selain mudah ditanam.

Beliau berkata, projek itu yang diselia pengurus Muhammad Fariqin Abd Rashid dan dibantu empat kakitangan juga antara program contoh agropreneur muda, bertujuan memberi pendedahan kepada golongan muda membabitkan diri dalam projek pertanian.

Menurutnya, biarpun projek itu diurus dan dipantau sepenuhnya pegawai PPK, namun ahli PDK kalangan orang kurang upaya (OKU) turut diberikan peluang terbabit sama dalam aktiviti menanam dan memetik hasil selain bimbingan dari aspek penggunaan teknologi terkini.

“Projek ini juga antara langkah PPK Seremban dalam menyahut seruan Perdana Menteri untuk meningkatkan lagi pengeluaran hasil makanan negara.

“Kami dapat berkongsi kemahiran dan pengalaman dengan pihak pengurusan PDK Panchor Jaya, selain membantu mereka menjana pendapatan menerusi projek pertanian yang berdaya maju.

“Projek ini juga akan dijadikan contoh bagi melaksanakan projek lain pada masa depan,” katanya.

Mohd Khairul berkata, pihaknya menjangkakan kedua-dua projek itu bakal mengeluarkan hasil pertama berstatus gred A pada hujung pertengahan Julai ini.

“Secara purata, kedua-dua projek itu boleh menjana hasil RM40,000 bagi setiap 0.4 hektar dalam tempoh tiga bulan.

“Selain itu, tanaman ini mempunyai peratus risiko kerosakan yang rendah iaitu hanya sekitar satu hingga dua peratus,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PDK Taman Panchor Jaya, Bakar Unus berkata, pihaknya bersyukur kerana diberikan peluang oleh PPK Seremban untuk terbabit dalam projek berkenaan.

Beliau berkata, ia dijangka dapat memenuhi tiga matlamat utama iaitu mendapatkan dana tambahan hasil keuntungan, mendedahkan peserta PDK tentang bidang pertanian dan mendekatkan diri OKU dengan realiti kehidupan bermasyarakat.

“Kami rasa teruja apabila diberikan peluang dan yakin projek ini bukan saja dapat membantu kami menambah dana bagi mengadakan lebih banyak aktiviti untuk kepentingan dan faedah OKU, malah membantu OKU itu sendiri untuk membina kerjaya masa depan,” katanya.

Katanya, PDK Taman Panchor Jaya ditubuhkan sejak 2013 dan kini menguruskan 22 OKU berusia 14 hingga 40 tahun.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 9:24am
d