agro

Krim atasi ekzema

Oleh Mohamad Hussin

Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencari jalan penyelesaian untuk melegakan simptom penyakit ekzema atau atopik dermatitis (AD) yang menyebabkan kegatalan dan keradangan pada kulit.

Formulasi yang dihasilkan melalui ekstrak kelapa sawit itu menjadi produk krim ultra pelembab semula jadi berasaskan spektrum penuh vitamin E yang bebas steroid dikenali sebagai REMDII Sensitive.

Ekzema menyebabkan kulit menjadi merah, kering, bersisik dan sangat gatal. Penyakit kulit ini dideritai sesiapa saja sama ada dewasa mahupun kanak-kanak.

Ketua Penyelidik dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM Prof Dr Lai Oi Ming berkata, REMDII Sensitive dibangunkan tanpa unsur bahan pengawet.

Beliau berkata, ia mengandungi bioaktif antiradang nano yang mampu menembusi lapisan dermis kulit bagi merangsang pemulihan.

“Produk ini dirumus dengan minyak olein ekstrak daripada sawit merah (RPO) yang kaya dengan tokoferol, tocotrienol dan karotenoid yang juga ramuan utama formulasi penjagaan kulit.

“Penggunaan RPO terhad dalam aplikasi makanan kerana ia direka untuk mengekalkan kepentingan fitonutrien dalam buah kelapa.

“Ia melalui langkah pemprosesan yang lebih ringan untuk menangani masalah kekurangan vitamin di beberapa kawasan luar bandar,” katanya pada sidang media di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Dr Lai berkata, dengan teknologi yang maju dalam industri penjagaan kulit dan permintaan pengguna terhadap produk yang lebih semula jadi dengan kecekapan setara atau lebih baik, RPO mempunyai peluang yang baik untuk menjadi penyelesaian menyeluruh bagi penjagaan kulit.

“RPO yang dimuatkan dengan bioaktif termasuk tocotrienol dan antioksida yang tinggi mempunyai harga yang kompetitif serta stabil.

“Malaysia antara negara pengeluar utama minyak sawit dan pengeluaran RPO yang mantap. Oleh itu, RPO adalah bahan ideal untuk dimasukkan dan dirumuskan menjadi produk penjagaan kulit pada tahap skala yang besar,” katanya.

Menurutnya, kajian mendapati kebanyakan daripada emolien iaitu bahan yang digunakan untuk mencegah atau mengurangi kekeringan sebagai perlindungan bagi kulit yang dijual untuk melegakan ekzema tidak mengandungi bahan aktif.

“Ia masih mempunyai banyak bahan kimia sintetik, pengawet dan bahan asas yang murah apabila mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan.

“Data klinikal yang diperolehi turut menunjukkan produk ini berjaya mengurangkan kegatalan dan pengelupasan dengan berkesan serta dapat merawat keadaan kulit dalam masa hanya dua minggu,” katanya.

Beliau yang juga penyelidik bersekutu di Institut Biosains UPM berkata, selain menyasarkan penghidap ekzema, produk ini juga memberi tumpuan kepada pengguna produk halal di semua peringkat usia.

Katanya, projek penyelidikan yang dijalankan selama dua tahun sejak Januari 2014 itu membabitkan penyelidik Dr Lai Wee Ting, Dr Nicholas Khong Mun Hoe, Hishammudin Muhammad dan Leow Min Min.

“Produk ini sudah dikomersialkan melalui syarikat Lipidware Sdn Bhd dengan kerjasama Putra Science Park (PSP) UPM,” katanya.

Bagaimanapun, LIPIDWARE menyarankan REMDII Sensitive bukan penawar sepenuhnya bagi penyakit ekzema. Setiap pesakit adalah unik dan perlu dipantau doktor yang berpengalaman.

Remdii Sensitive dirumuskan untuk mengurangkan keradangan kulit tanpa penggunaan steroid.

Disiarkan pada: July 11, 2017 @ 9:33am
d