agro

Anak ayam lebih jinak

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Melihat ramai penternak ayam kampung mengalami kesukaran mengeramkan telur ayam yang diternak terutama pada musim tengkujuh mendorong seorang usahawan menghasilkan inovasi mesin penetas telur (inkubator).

Ternyata usaha Muhamad Bukhari Lazim, 36, berbaloi apabila mesin penetas telur yang dibuatnya sejak lapan tahun lalu sudah terjual antara 30 hingga 40 unit sebulan.

Bukhari berkata, dia mempelajari teknik membuat mesin itu daripada seorang rakan ketika bekerja sebagai pemandu kren di Pahang 10 tahun lalu.

“Saya tidak sangka ilmu asas membuat mesin ini yang diturunkan itu membantu menjana pendapatan sampingan.

“Hanya mengambil masa selama dua hari, satu mesin dapat disiapkan dan dijual kepada pelanggan termasuk di Johor dan Selangor.

“Sebahagian mereka membuat tempahan melalui dalam talian termasuk Facebook atau WhatsApp,” katanya yang ketika ditemui di Kampung Dendang Timur, Ketereh, Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, mesin ini diperbuat daripada bahan asas seperti kayu, thermometer raksa untuk bacaan suhu selain menggunakan mentol untuk menghasilkan suhu diperlukan ketika telur diram.

“Sebelum ini, saya membuat sendiri kotak kayu itu tetapi sekarang terpaksa mengupah tukang kayu untuk mendapatkan kotak yang lebih kemas dan tahan lama.

“Saya lebih tertumpu kepada membina rangkaian elektronik di dalam mesin penetas telur itu. Semua sistem perlu dipastikan berjalan lancar supaya telur yang dieramkan menetas pada waktu ditetapkan iaitu 22 hari.

“Suhu mesin penetas perlu berada pada 38 hingga 40 darjah Celsius dan bergantung kepada jenis telur yang ingin dieramkan, jika telur ayam hanya 38 darjah Celsius sementara telur itik atau angsa 40 darjah Celcius,” katanya.

Bercerita berkenaan kebaikan mesin penetas telur itu katanya, penternak boleh mengeramkan telur ayam atau itik pada bila-bila masa dan tidak bergantung kepada keadaan cuaca.

“Kira-kira 90 peratus anak ayam atau unggas yang dieram menggunakan mesin itu lebih jinak dan senang diuruskan berbanding menetas secara semula jadi menggunakan induk.

“Saya mengambil keputusan membuat mesin ini kerana ingin memberi kemudahan kepada penternak yang menghadapi masalah telur tidak menetas setiap kali musim tengkujuh pada November hingga Januari terutama di pantai timur.

“Alhamdulillah, saya berjaya menghasilkan mesin penetas telur yang menepati cita rasa dan berfungsi dengan baik,” katanya.

Menurutnya, dia menjual mesin penetas telur itu mengikut saiz sama ada bersaiz kecil yang mampu memuatkan 50 biji telur atau mesin yang besar dan mampu memuatkan 100 biji telur pada satu masa.

“Harga yang dijual biasanya bergantung kepada saiz iaitu RM280 hingga RM450 dan perkhidmatan pembaikan juga disediakan bagi memudahkan pelanggan membaik pulih mesin penetas telur milik mereka yang mengalami masalah,” katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2017 @ 1:55pm
d