agro

Pasar 140 produk IAT ke Singapura

Oleh Mohamad Hussin

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) giat menjalankan promosi produk industri asas tani (IAT) membabitkan tiga lokasi ke Singapura sekali gus dapat menjana pendapatan usahawan tempatan.

FAMA dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Selangor dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memasarkan produk keluaran usahawan bimbingan masing-masing.

Seramai 41 usahawan di Selangor memasarkan kira-kira 140 produk IAT yang dibawa masuk ke pasaran antarabangsa Singapura dalam usaha mengembangkan perniagaan.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Abdul Shukur Idrus berkata, mulai 15 Julai hingga 15 Ogos ini adalah bulan promosi produk Selangor di Singapura.

Beliau berkata, promosi ini membabitkan tiga lokasi berbeza bagi memberi peluang kepada penduduk negara berkenaan mendapatkan produk segar dan halal.

“Lokasi terbabit ialah di Malaysia Halal Centre @ Big Box dan Global Halal Hub di Jalan Chai Chee dan promosi ‘state plate’ makan popular Selangor di Agrobazaar Malaysia-Singapura (ABMS).

“Usahawan juga turut mempromosikan produk IAT sempena Expo Malaysia Fest di Expo Hall Changi,” katanya selepas menyempurnakan Program Flag Off Produk Usahawan FAMA Negeri Selangor ke ABMS di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Abdul Shukur berkata, pada tahun lalu, 24 usahawan Selangor membabitkan 96 jenis produk dipasarkan di ABMS dengan nilai jualan RM168,000.

“Promosi state plate akan mengetengahkan tiga kategori utama makanan popular Selangor. Ia merangkumi makanan utama iaitu nasi ambeng, sambal tahun (kerang, perut lembu dan paru).

“Masakan berasaskan mentarang bakar dan berlada serta pecal. Manakala kategori kedua iaitu makanan sampingan yang berasaskan ubi atau dikenali sebagai ‘tapioca corner’.

“Antaranya ubi getuk, ubi rebus, lempeng ubi dengan sambal hijau, lepat ubi, talam ubi dan tapai. Selain itu, pencuci mulut iaitu bubur sumsum yang terkenal di Selangor turut dipromosikan,” katanya.

Menurutnya, FAMA Selangor telah mengadakan tapisan produk bagi memilih IAT yang melepasi syarat kemasukan ‘Agri-Food and Veterinary Authority of Singapore (AVA).

ABMS mula beroperasi pada 1 Ogos 2015 yang dirasmikan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta rakan sejawatannya Lee Hsien Loong, pada 27 Ogos 2014.

ABMS mengetengahkan 58 jenis buah-buahan bermusim dan tidak bermusim yang didatangkan khas dari Malaysia seperti durian, manggis, rambutan, nangka dan durian belanda.

Antara buah-buahan yang mendapat sambutan termasuk durian Musang King atau D197, cempedak, durian belanda, tembikai dan nangka.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 12:45pm
d