agro

Hasilkan ubatan farmaseutikal

Oleh Mohamad Hussin

Pokok patawali atau dikenali juga dengan akar seruntun atau akar patawali dengan nama saintifiknya tinospora crispa daripada famili menispermaceae.

Ia adalah tanaman menjalar batang berkerutu dan berdaun lebar seperti daun sirih. Biasanya banyak didapati tumbuh menjalar pada pagar dan kawasan rumah terbiar di kampung atau tumbuh liar di pinggir hutan.

Menurut kajian, herba ini membantu mengawal kadar kolesterol dalam darah.

Secara tradisinya, air rebusan diminum sebagai minuman kesihatan. Ia dipercayai dapat menghindarkan gigitan nyamuk kerana rasa pahit yang terdapat di dalam tumbuhan ini menyebabkan rasa pahit pada darah.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menjalankan kajian untuk menghasilkan ubatan farmaseutikal bernilai perubatan tinggi setanding ubat-ubatan sintetik.

Ketua Program Inkubasi Teknologi, Bahagian Inovasi dan Komersialisasi FRIM Mohd Shahidan Mohamad Arshad berkata, melalui pengetahuan tradisi turun-temurun, banyak tumbuhan yang berpotensi untuk dikaji bagi dijadikan ubat.

“Penyelidikan masa ini di peringkat ekstrak, bahan tanaman serta bahan mentah. Untuk memastikan kemampanan dalam penghasilan produk siap, FRIM menyediakan beberapa kepakaran bagi menghasilkan bahan tanaman dan bahan mentah berkualiti dengan adanya klon patawali.

“Beberapa kriteria digariskan pakar FRIM untuk menghasilkan klon terbaik ini. Antaranya kajian kimia, genetik, propagasi, sivilkultur dan teknologi pasca tuai.

“Kriteria ini melengkapkan rantaian untuk penghasilan produk siap yang berkualiti,” katanya ketika ditemui di FRIM, Kepong, baru-baru ini.

Mohd Shahidan berkata, daripada hasil kajian ekstrak menunjukkan ia selamat sehingga 1,000 miligram/kilogram.

“FRIM menyasarkan untuk menghasilkan produk tradisional dengan kerjasama antara FRIM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) “Dalam jangka masa 10 tahun, kerjasama ini menyasarkan untuk menghasilkan produk fitoubatan yang dapat menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, hasil kajian yang dilakukan mendapati pokok ini mudah tumbuh di kawasan semak dan di kawasan penempatan penduduk kerana dipercayai ditanam untuk kegunaan sendiri.

“Penyelidik FRIM telah menubuhkan plot germplasma apabila 200 lokasi di seluruh negara dikumpulkan untuk kajian seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 12:48pm
d