agro

Guna sensor IoT pantau maklumat

Oleh Mohamad Hussin

Hutan bakau penting kerana ia bertindak sebagai pemampan semula jadi yang melindungi dan menstabilkan pesisir daripada kuasa fizikal seperti ombak yang menghakis pinggir pantai, angin pantai yang kencang dan ribut taufan.

Bakau menjadi habitat beberapa spesies flora dan fauna yang mempunyai penyesuaian unik. Banyak spesies udang marin dan ikan mencari makanan, bertelur dan membesar di sini.

Kawasan bakau juga adalah tapak penting bagi burung residen dan hijrah mencari makan serta bersarang.

Menyedari hakikat itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ericsson Malaysia Sdn Bhd menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menanam pokok bakau.

Pengarah Pusat Komunikasi Tanpa Wayar (WCC) UTM Prof Dr Tharek Abd Rahman berkata, projek yang pertama di dunia ini menggabungkan teknologi objek rangkaian Internet of Things (IoT).

Beliau berkata, ia termasuk jalur lebar mudah alih untuk membantu komuniti tempatan menguruskan pertumbuhan pokok bakau baru.

“Hutan bakau adalah sebahagian penting ekosistem Malaysia untuk melindungi kampung berhampiran pantai dan tebing sungai daripada risiko alam sekitar.

“Bakau juga salah satu pokok yang paling berkesan di dunia untuk menyerap karbon dioksida yang menghasilkan perubahan iklim berbahaya.

“Oleh itu, kita mengambil inisiatif menanam lebih 200 anak pokok bakau yang dilengkapi sensor IoT dengan bantuan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Projek Bakau Terhubung (Connected Mangroves Project) di Sungai Ayer Tawar, Kampung Datuk Hormat, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh Todd Ashton dan Penyelaras Program Hutan dan Pantai Global Enviroment Centre (GEC) R Nagarajan.

Pada program itu, 70 mahasiswa, kakitangan UTM dan Ericsson serta penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan dan menanam anak pokok bakau.

Dr Tharek dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM berkata, penggunaan sensor IoT ini dapat membantu memantau maklumat masa nyata mengenai keadaan tanah dan cuaca, kebakaran serta paras air.

“Ia juga dapat mengesan sebarang pencerobohan daripada pihak ketiga untuk memastikan pertumbuhan positif dan pemulihan garis pantai yang terhakis.

“Data dikumpulkan dan dihantar terus ke sistem awan di mana pengguna seperti petani, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penganalisis dan pihak berkuasa boleh mengaksesnya bagi mendapatkan maklumat mengenai status anak pokok.

“Menerusi projek ini, data yang diperoleh dari kawasan penanaman bakau akan dianalisis di makmal UTM-Ericsson Innovation Centre for 5G (IC5G) di UTM,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah UTM-Ericsson IC5G berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk menyertai projek ini kerana usaha pemulihan hutan bakau semakin berkurangan.

Sementara itu, Todd berkata, Ericsson tekad menggunakan sensor bagi membekalkan maklumat dalam usaha memulihara kawasan bakau yang semakin lenyap.

“Projek ini akan melindungi kepentingan ekosistem kawasan pantai sepanjang 3,000 batu di Malaysia.

“Dengan komitmen syarikat bersama inovasi teknologi ICT, kami menjangkakan proses pematangan anak pokok akan lebih pantas berbanding menggunakan kaedah biasa.

“Di samping itu, masyarakat setempat juga dilengkapi dengan keupayaan menggunakan data untuk menguruskan alam sekitar dan mengambil sebarang tindakan untuk menyokong pertumbuhan bakau,” katanya.

Wakil penduduk Kampung Datuk Hormat, Azizi Tumeran, 30, berkata pihaknya menyambut baik langkah pihak berkenaan menanam pokok bakau di kawasan itu.

“Benih anak pokok bakau kebanyakan kita beli di beberapa tempat di Lekir, Perak serta Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor.

“Buat masa ini, kita belum ada nurseri untuk menyemai anak pokok bakau. Bagaimanapun, ia ada dalam perancangan membina sebuah kawasan untuk tapak semaian anak pokok bakau dalam masa terdekat,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2017 @ 1:03pm
d