agro

NARSCO tingkat taraf pekebun

Oleh Mohamad Hussin

Penubuhan Koperasi Pekebun Kecil (KPK) seawal tahun 1980 antara mekanisme untuk merealisasikan hasrat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi pekebun kecil.

Ia melalui pembabitan mereka dalam sektor ekonomi dengan pengembelengan tenaga, modal dan kemahiran.

Hingga kini, di RISDA terdapat 63 koperasi meliputi 54 KPK daerah, lima KPK negeri, 3 KPK gabungan dan satu koperasi induk di bawah Koperasi Pekebun Kecil Getah Nasional Berhad (NARSCO).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah keanggotaan setakat ini membabitkan 146,955 ahli dengan jumlah saham terkumpul sebanyak RM46.73 juta.

Beliau berkata, Dasar Koperasi Negara 2011-2020 menyatakan koperasi antara entiti yang dapat menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara.

“Gerakannya perlu diberi penekanan kerana ia satu wahana ke arah pembentukan negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi. Cabaran kepada gerakan koperasi juga semakin meningkat dan diterima baik rakyat di negara ini.

“Tahniah kepada RISDA yang berjaya menyatukan pekebun kecil di bawah satu badan induk koperasi pekebun kecil iaitu NARSCO.

“Sumber modal ini boleh dijana dan dikembangkan untuk memperoleh keuntungan. Ahli juga akan mendapat penambahan pendapatan melalui bayaran dividen tahunan, harga diskaun ke atas belian barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar KPK 2017 dan Mesyuarat Agung NARSCO kali ke-33 di Ibu Pejabat RISDA, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ketua Pengarah RISDA Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad dan Pengerusi NARSCO Datuk Zamri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, ahli lembaga koperasi juga perlu memainkan peranan menggalakkan ahli di kawasan supaya dapat membeli baja dan input pertanian di kedai koperasi.

“Mereka perlu terus menyokong urusniaga koperasi supaya koperasi terus maju serta mampu berdaya saing dengan pembekal yang lebih besar.

“Contohnya seperti usaha pemasaran getah dan sawit secara berkelompok, menguruskan pengeluaran hasil ladang yang bermutu supaya boleh dijual dengan harga lebih tinggi, pemasaran produk asas tani, pemasaran dan pengedaran hasil usaha ahli koperasi.

“Selain memperkenalkan sumber pendapatan yang baru, usaha ini juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan luar bandar serta mengelakkan penghijrahan generasi muda ke bandar,” katanya.

Menurutnya, NARSCO berjaya mendapat kepercayaan RISDA untuk melaksanakan kontrak bekalan kimia kepada pekebun kecil disamping kontrak yang lain.

“Saya berharap RISDA dan syarikat milikan RISDA terus menyokong dan memberi peluang kepada NARSCOmenjadi koperasi yang mempunyai daya saing tinggi serta kukuh demi kepentingan pekebun kecil.

“NARSCO berjaya meningkatkan keuntungan bersih operasi dari RM169,164 pada tahun 2015 kepada RM1 juta pada 31 Disember 2016.

“Sementara keuntungan bersih kumpulan NARSCO yang merangkumi semua KPK meningkat dari RM170,030 pada tahun 2015 kepada RM19.673 juta pada akaun berakhir 31 Disember 2016, iaitu kenaikan sangat memberangsangkan,” katanya.

Pada majlis itu, empat koperasi menerima Anugerah Koperasi Terbaik RISDA Tahun 2016 antaranya Koperasi Gabungan Perak Berhad, KPK Daerah Batu Pahat Berhad, KPK Daerah Pekan Berhad dan KPK Daerah Larut Matang Berhad.

Disiarkan pada: August 1, 2017 @ 12:25pm
d