agro

Pengering mudah alih

Oleh Nor Farhani Che Ad

Famox Agrotech Sdn Bhd, syarikat milik anak muda dari Kedah memperkenalkan teknologi mesin pengering tanaman mudah alih pertama di negara ini yang dikenali sebagai ‘Famox Grain Corn Mobile Dryer’.

Pengasas dan juga pengarah syarikat itu, Ramana K Naidu berkata, mesin itu direka bertujuan n mengeringkan tanaman terus dari ladang.

“Mesin ini dapat memudahkan petani mengeringkan hasil tanaman terus dari ladang tanpa perlu dibawa ke gudang kerana ada ladang terletak jauh dari gudang.

“Bukan sahaja menjimatkan masa malah pengusaha tanaman akan mendapat keuntungan lebih tinggi kerana tidak perlu menanggung kos pengangkutan bagi mengeringkan tanaman di gudang,” katanya.

Beliau berkata demikain selepas ditemui di ladangnya di Kampung Sungai Batu, Mukim Bujang, Merbok, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Mohd Sallehuddin Hassan.

Katanya, mesin itu bukan sahaja mampu mengeringkan jagung tetapi juga tanaman lain termasuk koko, padi dan kopi.

Beliau yang juga pengusaha tanaman jagung bijirin sejak dua tahun lalu mengakui penggunaan jentera yang menggunakan teknologi dari Rusia dan India itu mampu menjimatkan kos pengeluaran 20 hingga 30 peratus.

“Idea menghasilkan mesin pengering mudah alih itu tercetus apabila saya mengunjungi negara India bagi mempelajari lebih mendalam teknologi pertanian di negara itu.

“Teknologi mesin pengering sudah mula diguna pakai di India, jadi saya memutuskan untuk membawanya ke negara ini dengan menghasilkan mesin sendiri.

“Mesin ini tidak memerlukan tenaga elektrik sebaliknya menggunakan tenaga kinetik melalui rotasi traktor.

“Tenaga kinetik itu ditukar kepada tenaga elektrik hingga mekanisme berfungsi, kemudian kita akan memasukkan bijian yang diambil menggunakan lori ke dalam mesin pengering,” katanya.

Ramana berkata, memandangkan mesin itu tidak memerlukan tenaga elektrik, ia boleh dibawa ke mana sahaja seperti ladang yang terletak jauh di pedalaman.

“Suhu hingga maksimum 220 darjah Celsius akan dihasilkan sebelum pembakar berfungsi dengan suhu sehingga 80 darjah Celsius.

“Mesin ini dapat menampung hingga tiga tan sekali muatan dan mengambil masa selama tiga jam bagi mengeringkan tanaman.

“Tanaman yang mempunyai kelembapan 20 hingga 25 peratus mampu dikeringkan kepada 14 peratus sebelum dipasarkan kepada pengilang,” katanya.

Beliau berkata, hingga kini tujuh mesin berkenaan dipasarkan ke Indonesia dan Thailand selain turut mendapat perhatian MOA untuk dikomersialkan kepada petani di dalam negara.

Disiarkan pada: August 1, 2017 @ 12:44pm
d