agro

Pokok napier mudah ditanam

Oleh Sabaruddin Abd Ghani

Mengambil kira saranan dan nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah selain ‘berguru’ menerusi Internet, Mohd Nazri Zakaria, 41, mengorak langkah mengusahakan projek tanaman pokok napier.

Diusahakan sejak tahun lalu di kawasan seluas kira-kira tiga hektar di Kampung Surau Bakai, Baling, Kedah, tanaman terbabit yang menyerupai pokok tebu sangat sesuai dijadikan sumber makanan tambahan ternakan termasuk lembu dan kambing.

Pokok napier yang berasal dari India ini cukup mudah ditanam berbanding pokok lain dan mengandungi protein bagi meningkatkan pengeluaran susu lembu, biri-biri, kambing serta kerbau.

Mohd Nazri berkata, cara paling baik menghasilkan ternakan berkualiti ialah pokok berkenaan perlu diproses dijadikan silaj napier (diperamkan selama kira-kira sebulan) yang dicampur dengan bahan tertentu seperti gula merah dan Effective Microd (EM) supaya ia boleh disimpan lama serta tidak mudah rosak.

“Sebelum dijadikan silaj, pokok napier ditebang bersama daunnya perlu menjalani proses penghancuran menggunakan mesin penghancur.

“Selain digunakan sebagai makanan tambahan untuk 300 kambing, biri-biri dan kibas yang diternak, silaj itu juga dijual kepada pengusaha ternakan RM400 untuk satu tan dan RM12 bagi 30 kilogram (kg),” katanya.

Penat lelah bapa kepada lima anak itu mengusahakan projek tanaman napier atau nama saintifiknya, pennisctum purpureum tidak menghampakan, malah memperoleh pendapatan agak lumayan kira-kira RM10,000 sebulan hasil jualan silaj dan susu kambing yang diusahakan sejak lima tahun lalu.

Ini kerana pelanggannya bukan saja dari sekitar Baling malah dari Alor Setar, Pulau Pinang dan Gerik, Perak.

Dilahirkan dalam keluarga petani, Mohd Nazri tidak kekok mengusahakan projek tanaman napier dan ternakannya yang dibantu anak lelakinya, Muhammad Safwan, 21.

Mohd Nazri berkata, dia mendapati banyak perubahan pada ternakannya yang diberi makan silaj setiap hari apabila membesar dengan baik, sekali gus mengeluarkan susu dan daging berkualiti selain dapat menampung permintaan pelanggan.

“Khasiat napier ini yang juga dikenali sebagai ‘guatamala’ atau rumput gajah sebagai makanan ternakan tidak perlu dipertikaikan kerana penduduk di India, Taiwan dan Indonesia mengusahakannya secara komersial berbanding di Malaysia.

“Ia cukup mudah ditanam iaitu tapak penanaman perlu dibuat batas panjang sebelum pokok tanaman itu yang dipotong pada saiz kira-kira 0.5 meter dan ditanam menegak atau dibaringkan.

“Peringkat awal, ia mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk membesar dan matang. Napier ini boleh ditebang setiap bulan kerana benih baru tumbuh pada perdu tunggulnya dan membesar dengan cepat,” katanya.

Berkenaan perusahaan susu kambing, Mohd Nazri berkata, setakat ini dia tidak menghadapi masalah, malah permintaan semakin bertambah berikutan semakin ramai sedar khasiat susu segar.

Katanya, ketika ini beliau memproses susu segar itu secara manual iaitu dengan memerah susu dengan menggunakan tangan.

“Perahan susu itu disimpan dalam bekas khas sebelum diisi dalam botol plastik berisipadu 220 milimiter (ml) dan dijual RM3 sebotol manakala bagi botol 500 ml pula RM6,” katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2017 @ 12:48pm
d