agro

Usahawan rebung buluh madu

Oleh Nurul Husna Mahmud

Ladang Lanchang Edible diusahakan Adnan Osman iaitu seorang pengusaha yang terbabit dalam projek ladang Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM) Lanchang, Temerloh, Pahang memberi pulangan tahunan mencecah enam angka menerusi tanaman buluh dan nangka madu serta buah-buahan.

Malah ladang diusahakan sejak 11 tahun lalu menerusi projek usaha sama Pusat Pertanian Lanchang itu membabitkan 40 hektar tanah berstatus pajakan atau sewaan kepada negeri secara tahunan.

Daripada jumlah keseluruhan, 24 hektar tanah dari ladang itu ditanam dengan buluh, 12 hektar pula nang­ka dan bakinya buahan-buahan lain antaranya mangga.

Menurut Adnan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Pengusaha Ladang TKPM Lanchang Berhad, ladangnya antara ladang buluh terbesar ketika ini dan menjadi pembekal utama produk rebung bagi keperluan pasaran tempatan.

“Ladang ini dibuka secara rasmi sejak 2005. Saya mula tanam nangka dan paling banyak ialah buluh madu. Kini jumlah tanaman untuk buluh madu saja mencecah 27,000 rumpun.

“Saya difahamkan menurut Jabatan Pertanian Lanchang Temerloh, ladang saya antara ladang buluh madu terbesar di Malaysia dengan keluasan 24 hektar hanya untuk tanaman itu.

“Produk utama ladang ialah rebung untuk dijual dalam pasaran domestik. Meskipun kapasiti sedia ada besar menerusi iaitu 27,000 rumpun sedia menghasilkan rebung. namun permintaan untuk makanan ini masih tidak mencukupi untuk tujuan eksport.

“Baka buluh madu atau nama saintifiknya Gigantochloa albociliata ini saya bawa sendiri daripada Xian, China. Pernah juga cuba menanam buluh madu daripada baka lain antaranya dari Thailand. Namun rebung daripada baka berkenaan rasanya lebih pahit dan kurang digemari peminat ulam itu.

“Kelebihan buluh madu jenis ini juga sesuai ditanam pada tekstur tanah dan iklim di sini. Saiz ukur lilit buluh ini juga lebih kecil dan begitu juga dengan rebungnya.

“Namun tidak menjejaskan rasa serta kualiti rasa rebung itu lebih manis, rangup selain tidak mengeluarkan bau kuat sesuai dimasakkan dalam pelbagai hidangan.

“Faktor lain menyebab­kan saya memilih buluh ialah tanaman ini mudah diuruskan. Cukup pangkas buluh tua dan menggunakan baja tanaman sesuai akan naik tunas baru atau rebung,” katanya.

Kata Adnan, cabaran ketika menanam buluh mahupun nangka hanya pada awal pembukaan ladang terbabit.

“Dulu Lanchang ini ialah kawasan bukit dan berpaya. Tanah dan cuaca di sini sedikit kering serta tiada sistem pengairan. Saya masuk menerusi jalan balak serta mulakan kerja membina sistem pengairan bagi tujuan pertanian.

“Jenis tumbuhan sesuai kita dapat bantuan Jabatan Pertanian dan sejak itu saya mula menanam buluh dan nangka. Bagi tanaman buluh, tuaian rebung pertama perlu menunggu kira-kira lapan bulan sebelum dijual.

“Tetapi kini sepanjang masa boleh dituai kerana pokok sudah ada dan mengeluarkan rebung silih berganti.

“Batang buluh tua boleh dibakar untuk dijadikan bahan produk kosmetik dan pembersihan. Contoh, saya turut menghasilkan produk seperti sabun arang buluh dan penyerap bau daripada bahan sama untuk pasaran,” katanya memperoleh pendapatan kasar kira-kira RM600,000 setahun menerusi hasil ladang berkenaan.

Sementara itu Pengurus Projek Jusri Yusop berkata, ketika ini seramai 90 peserta membabitkan usahawan tani tempatan serta swasta.

“Sejak dibuka secara rasmi 2004, terkini TKPM Lanchang berjaya menjana 47 peserta terdiri individu dan 43 syarikat swasta menyertai projek ini. Sebahagian besar produk dituai daripada ladang ini ialah nangka madu jenis ‘Tekan Yellow’ atau J33.

“Selain nangka, kita mempunyai pengusaha ladang buluh terbesar iaitu seluas 25.2 hektar khusus memasarkan produk rebung untuk pasaran tempatan. Rancangan terdekat, kita dalam proses untuk mengusahakan tanaman nanas.

“Sekarang kita mula menanam sejuta pokok dan ini mampu menampung permintaan domestik terhadap buah terbabit.

“Untuk tahun ini secara keseluruhan daripada projek TKPM Lanchang berharap sasaran nilai pengeluaran semua hasil pertanian mencecah nilai RM11 juta bagi tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 2:48pm
d