agro

Kempen makanan bersih

Oleh Zaitie Satibi

Pemakanan yang seimbang adalah kunci utama ke arah amalan gaya hidup sihat. Namun, ramai juga tidak menyedari peranan pengambilan makanan berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik.

Sewajarnya kita mengambil makanan seimbang dalam diet harian dan menjadikannya budaya hidup setiap hari. Bagaimanapun, makanan utama yang kini menguasai rakyat Malaysia adalah karbohidrat diproses yang juga punca utama peningkatan obesiti dan penyakit metabolik.

Sehubungan itu, GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH), pengendali pasar raya premium, Cold Storage, Mercato dan Jasons Food Hall melancarkan kempen Makanan Bersih Australia sempena kunjungan Misi Perdagangan Australia Selatan, baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Pasar Raya Premium, Alice Lau berkata, kempen itu yang pertama seumpamanya di Malaysia dan menawarkan pelbagai pilihan makanan semula jadi berkualiti premium daripada pelbagai pengeluar Australia bagi mempromosikan makanan bersih dan segar dalam kalangan rakyat negara ini.

Menurutnya, kempen itu dianjurkan sepanjang Ogos ini dengan kerjasama The Model Cook iaitu syarikat dari Australia Selatan yang menawarkan makanan yang bebas diubah suai secara genetik (GMO) dan bebas gluten serta rakan dagang Australia lain.

“Kempen ini selaras dengan hasrat kami untuk menawarkan pengguna dengan pelbagai produk berkualiti dan segar. Ini juga dapat menggalakkan rakyat Malaysia supaya lebih sedar pemakanan yang mereka ambil menerusi konsep Pemakanan Bersih.

“Pemakanan Bersih bukan saja berkenaan bahan makanan, tapi merujuk kepada pendekatan gaya hidup yang lebih sihat melalui makanan dan cara penyediaannya. Menerusi kempen ini juga, kami berupaya menyebarkan manfaat makanan bersih dengan lebih luas kepada pengguna.

“Terma makanan bersih adalah sejati dan semula jadi yang diproses dengan minimum bagi membantu pengguna menikmati kehidupan lebih sihat,” katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di ibu negara.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Australia Selatan, Jack Snelling.

Antara jenama terkenal dari Australia yang menyertai kempen itu seperti Maggie Beer dengan produk gormet, Tucker’s Natural Crackers, Pendleton’s Extra Virgin Olive Oil, Balfours Bakery, Sunbeam Snacks, Monjava, Stanbroke, Dorper, Arnotts, Nippy’s, Australia’s Own dan Harvey Fresh.

Alice berkata, kempen berkenaan merangkumi aktiviti promosi dan pensampelan produk Australia di semua cawangan pasar raya premium berkenaan di seluruh semenanjung Malaysia. Malah, pengguna turut berpeluang memenangi hadiah percutian untuk dua orang ke Adelaide, Australia selama empat hari tiga malam menerusi peraduan beli dan menang.

Sementara itu, Jack berkata, Australi dikenali sebagai negara pengeluar makanan dan minuman premium yang berkualiti dan piawaian keselamatan makanan yang tinggi.

Menariknya di Australia Selatan, aktiviti pengeluaran makanan adalah dinamik yang berpusat kepada tanah, air dan udara yang bersih berfungsi untuk mempromosikan ekonomi tempatan yang mampan.

“Menerusi pelancaran kempen Makanan Bersih Australia di negara ini, lebih ramai pengguna kini dapat menikmati pilihan makanan yang hebat dari negara kami selain menerima manfaat kesihatan daripada tabiat pemakanan bersih,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 12:36pm
d