agro

Lepas 1.13 juta benih udang galah

Oleh Mohamad Hussin

Jabatan Perikanan (DOF) mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya melepaskan lebih 1.13 juta benih udang galah ke perairan Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan.

Ia sekali gus mencatat sejarah baru dalam usaha pemuliharaan sumber perikanan negara.

Program pelepasan benih ini dijayakan DOF Negeri Sembilan dengan kerjasama syarikat Tanjung Utara iaitu sebuah pusat penetasan benih udang galah swasta yang beroperasi di Pasir Panjang, Port Dickson.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata, syarikat terbabit menyumbang 1 juta benih udang galah bernilai RM120,000 sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk meningkatkan sumber perikanan di perairan sungai.

Beliau berkata, program pelepasan benih ikan dan udang ini antara program tahunan DOF bagi memastikan kemakmuran dan kelestarian sumber perikanan negara dapat dinikmati generasi akan datang.

“Ia bagi menambah stok udang galah dan ikan yang semakin berkurangan akibat penangkapan ikan yang tidak terkawal dan pencemaran sungai.

“Program ini dapat meningkatkan sosio ekonomi nelayan dan penduduk setempat selain mendidik masyarakat menghargai sungai.

“Statistik pengeluaran udang galah melalui sistem ternakan akuakultur menunjukkan bahawa Negeri Sembilan menyumbang 32.12 peratus daripada pengeluaran udang galah Malaysia,” katanya selepas pelancaran itu.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan di Pangkalan Nelayan Sungai Timun, Rembau, baru-baru ini.

Ismail berkata, sepanjang 2016, Sungai Timun menarik hampir 680 pemancing rekreasi dengan purata sebulan 50 orang.

“Jumlah ini akan terus meningkat jika kepelbagaian spesies terus dipelihara dan dipertingkatkan. Negeri Sembilan antara negeri kedua terbesar selepas Perak.

“Kita percaya pemilihan Sungai Timun sebagai cabang kepada Sungai Rembau yang mengalir ke Sungai Linggi adalah tepat kerana ia terkenal dalam kalangan pemancing dengan udang galah sepit birunya.

“Difahamkan juga, DOF Negeri Sembilan melepaskan 200,000 benih udang galah sejak 2014. Selain itu, Sungai Timun antara salah satu lokasi yang berpotensi untuk agro pelancongan,” katanya.

Menurutnya, ia mempunyai kepelbagaian spesies ikan yang menjadi tarikan pemancing antaranya udang galah, lampam sungai, baung, patin dan siakap.

“Kehadiran buaya dan kelip-kelip yang mendiami kawasan sungai ini juga menjadi faktor penarik yang unik,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri berasa bangga kerana Negeri Sembilan dipilih oleh DOF bagi melepaskan 1 juta benih udang galah ke perairan Sungai Timun.

Beliau berkata, ini menunjukkan agensi Kerajaan Persekutuan prihatin dengan kebajikan nelayan darat yang terdapat di perairan yang kaya dengan sumber udang galah ini.

“Kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan RM50,000 bagi program pelepasan benih pelbagai spesies ikan sungai asli di seluruh Negeri Sembilan.

“Saya mengarahkan DOF Negeri Sembilan bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap kawasan merancang 10 program pelepasan benih ikan.

“Ia sudah pun dilaksanakan di daerah Jelebu, Tampin, Jempol dan Kuala Pilah dengan jumlah benih yang dilepaskan sebanyak 150,000 ekor membabitkan ikan lampam sungai, baung, kelah, kerai, patin dan terbul,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 12:08pm
d