agro

Platform penyelidikan makanan

Oleh Mohamad Hussin

Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Makanan (IFRC) 2017 antara usaha menangani cabaran menyediakan bekalan makanan yang selamat, mampan, berkhasiat dan berpatutan kepada pengguna.

IFRC merangkumi bidang utama penyelidikan makanan seperti pemprosesan dan biopemprosesan makanan, kejuruteraan makanan, keselamatan serta kualiti makanan.

Ia termasuk makanan fungsian dan pemakanan, teknologi lepas tuai, pengurusan, khidmat makanan serta makanan halal.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur IFRC Prof Dr Russly Abdul Rahman berkata, persidangan anjuran Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai platform untuk kerjasama serantau dan global.

Beliau berkata, ia meletakkan UPM sebagai penggerak utama dalam bidang penyelidikan makanan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“IFRC memberi peluang perkongsian penemuan baru dan pengalaman dalam kalangan ahli akademik, penyelidik, usahawan, penggubal dasar tempatan dan antarabangsa yang terbabit secara langsung atau tidak dalam penyelidikan makanan.

“Isu berkaitan penyelidikan makanan adalah kritikal kerana makanan mampu mempengaruhi kesejahteraan dan kesihatan pengguna secara langsung.

“Sehubungan itu, IFRC dapat memberi peluang kepada penyelidik untuk bertukar pendapat dan membentangkan penemuan penyelidikan dalam isu makanan,” katanya sempena IFRC 2017 di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM Prof Datuk Dr Husaini Omar. Pada majlis itu, lebih 300 penyertaan membabitkan 17 negara menghadiri IFRC 2017.

Russly berkata, persidangan itu mengukuhkan jalinan kerjasama antara UPM dan agensi berkaitan dalam bidang penyelidikan makanan.

“Kerajaan menjadikan UPM sebagai pusat kecemerlangan pendidikan pertanian untuk membangunkan tenaga kerja mahir bagi industri yang berkaitan terutama sektor makanan yang dianggap sebagai denyut nadi industri.

“Antara pendekatan yang diambil FSTM UPM dalam mendepani cabaran bidang penyelidikan makanan adalah melalui penganjuran IFRC 2017.

“Lonjakan besar dari kedudukan 270 (2015) ke 229 (2016) dalam QS World University Ranking mencerminkan hasil usaha kolektif semua fakulti dan entiti di UPM,” katanya.

Menurutnya, penyelidik dari FSTM mampu mendepani cabaran dalam bidang makanan dengan penemuan penyelidikan yang baru dan penghasilan teknologi berimpak tinggi serta berdaya saing.

UPM menduduki tangga ke-25 dunia dan pertama di ASEAN dalam bidang ‘Food Science and Technology’ menurut Shanghai Ranking’s Global Ranking of Academic Subjects (GRAS) 2017, pada 17 Julai lalu.

Dalam senarai kedudukan ini, lebih daripada 4,000 universiti di seluruh dunia dinilai meliputi 52 subjek dalam bidang sains tulen, kejuruteraan, sains hayat, sains perubatan dan sains sosial.

Tahun ini, bidang sains dan teknologi makanan diperkenalkan buat pertama kali dan UPM mencapai 80.1 peratus bagi jumlah keseluruhan penerbitan akademik.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 12:13pm
d