agro

KKJ Pahang promosi cara buat cincau

Oleh Roselan Ab Malek

Cincau yang berbentuk seperti jeli, biasanya berwarna hitam kecoklatan memang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama ketika cuaca panas kerana boleh menyegarkan dan menyejukkan badan lebih-lebih lagi apabila dibuat minuman.

Pokok cincau hitam atau nama saintifiknya mesona palustris berbatang lembut, beruas-ruas menjalar berwarna kemerahan dengan ketinggian 30 hingga 40 sentimeter (sm).

Daunnya berwarna hijau, berbentuk lonjong, bergerigi di tepi, berbulu kecil dan hujung daun yang runcing seperti daun pudina serta amat popular di Indonesia.

Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) Pahang, kini giat mempromosikan cara membuat cincau sendiri di rumah bagi memastikan bahan yang dibuat itu lebih bersih dan menyakinkan.

Pensyarahnya, Nurul Hasanah Md Teni berkata, oleh kerana di negeri ini tiada industri tananam cincau secara besar-besaran, pokok cincau kering terpaksa diimport dari Indonesia.

“Pada masa ini, kami memberi peluang kepada suri rumah dan belia untuk belajar cara membuat cincau sendiri sama ada untuk kegunaan sendiri, keluarga atau menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

“KKJ menyediakan EZ kit lengkap untuk membuat cincau di rumah dengan tagline ‘Jom masak cincau di rumah’ yang mengandungi bahan lengkap untuk membuat cincau.

“Kit lengkap ini mengandungi daun cincau kering seberat 120 gram, tepung ubi 37.3 gram dan soda bikarbonat 2.5 gram. Untuk membuatnya, cincau kering hendaklah dibasuh kemudian daun direndam dalam jangka masa kira-kira lima minit bagi mengasingkan batu atau debu halus pada daun cincau kering berkenaan,” katanya.

Menurutnya, selepas dibersihkan cincau itu kemudian direndam dalam dua liter air bersama dengan 2.5 gram soda bikarbonat selama kira kira setengah jam.

“Kemudian ia direbus selama setengah jam dan disaring dengan tapis halus. Air cincau hitam yang disaring itu dicampurkan 150 gram gula dan dipanaskan kembali serta dikacau supaya sebati.

“Kemudian masukkan bancuhan tepung ubi sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan cepat sehingga hitam pekat berkilat,” katanya.

Nurul Hasanah berkata, air itu kemudian dituangkan ke dalam loyang atau bekas dan biarkan sejuk sehingga ia menjadi keras seperti jeli.

“Hampas yang digunakan untuk mendapatkan pati membuat cincau yang kenyal itu boleh digunakan berulang kali. Rebus sekali lagi dengan air sampai mendidih kemudian tapis dan ambil airnya sehingga menjadi cincau.

“Pek EZ kit cincau ini dijual dengan harga RM25 satu dan kini mendapat sambutan mengalakkan,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 2:32pm
d