agro

Sijil gred durian

Oleh Samadi Ahmad

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mengeluarkan sijil pengesahan gred durian kepada penjual buah tempatan bagi mengelak pembeli tertipu ketika melakukan pembelian.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia termasuk menggunakan pelbagai teknologi terkini termasuk imbasan kod QR yang boleh diperiksa dengan hanya menggunakan telefon pintar oleh pembeli bagi menentukan gred serta keluarannya.

“Usaha itu dilaksanakan kerana kami menerima banyak aduan daripada pembeli yang mendakwa tertipu dengan gred durian yang tidak betul dan terpaksa membayar pada harga lebih tinggi.

“Pengusaha durian juga digalak mendapatkan sijil pengesahan gred buah tempatan itu bagi meyakinkan pembeli dan mengelak penipuan ketika urusan jual beli,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Tengahari Bersama Usahawan Industri Durian di Putrajaya, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Ahmad Shabery berkata, pengeluaran sijil itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia (Standard Malaysia).

Katanya, Standard Malaysia berfungsi sebagai pengeluar sijil selepas menerima pengesahan gred daripada FAMA dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Pelaksanaan itu juga memberi pilihan kepada pembeli untuk meneruskan pembelian atau sebaliknya.

“Jika tidak pasti dengan kesahihan gred dan keluaran durian itu atau penjual tidak meletakkan kod serta label yang disahkan kerajaan, mereka ada pilihan untuk tidak membelinya,” katanya.

Beliau menegaskan pada ketika ini, belum tiba masanya lagi untuk meletakkan harga siling durian, sebaliknya menyegerakan sistem standard supaya pembeli tidak tertipu ketika membuat pembelian.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut mengumumkan penganjuran Festival Durian 2017 di Nanning, China yang akan berlangsung bermula 19 hingga 21 Oktober ini dengan kerjasama FAMA.

Sebanyak 50 pengusaha akan menyertai pameran itu membabitkan 250 produk, selain membawa masuk dua kontena berisi durian, namun ia bergantung kepada kelulusan pihak penganjur di China.

Ahmad Shabery berkata, hala tuju eksport durian dengan tagline ‘Durian Adalah Industri’ bertujuan meningkatkan eksport durian serta produk berasaskan durian melalui usaha mempelbagai akses pasaran buah ini ke luar negara.

“Tanaman durian ini boleh dijadikan sebagai industri kerana harganya semakin tinggi dan negara mempunyai banyak tanah terbiar di lereng bukit yang boleh dimanfaatkan sebagai kawasan tanaman.

“Melalui teknologi terkini kita mampu menyimpan buah durian pada jangka masa yang lama ketika berlaku lambakan. Pada masa itu durian juga tidak lagi dilihat sebagai buah bermusim serta ia mampu menstabilkan harganya,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 10:09am
d