agro

'Racun' mesra alam

Oleh Mohamad Hussin

Betik adalah tanaman buah-buahan tropika yang penting untuk pasaran domestik dan eksport. Pelancaran varieti betik Eksotika pada 1987 dan disusuli dengan Eksotika II pada 1989 merevolusikan industri betik negara.

Saiz buah yang kecil dan manis membuatkan varieti ini mendapat sambutan dari negara pengimport seperti Hong kong, Tanah Besar China dan Timur Tengah.

Varieti lain yang turut ditanam di Malaysia khususnya untuk pasaran tempatan adalah Sekaki. Pelancaran kedua-dua varieti Eksotika melonjakkan eksport bernilai RM120 juta pada 2004 dan meletakkan Malaysia sebagai pengeksport kedua terbesar di dunia.

Bagaimanapun, kejayaan tidak kekal lama apabila eksport betik merudum menjadi RM21 juta pada 2012 akibat jangkitan penyakit mati rosot betik disebabkan sejenis bakteria perosak iaitu Erwinia mallotivora.

Penyakit ini menyerang anak benih, tangkai daun, daun, batang pokok, bahagian terminal daun dan juga buah. Simptom pe­nyakit apabila lecuh basah pada pucuk, daun, batang dan akhirnya daun reput serta terkulai seterusnya kelihatan tompok hitam pada kulit buah selain isinya.

Sehubungan itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya menemukan ‘penawar’ teknologi Kerintangan Sistemik Teraruh atau Induced Systemic Resistance (ISR) bagi kawalan tanaman betik yang pertama di dunia.

Pegawai Penyelidik Kanan MARDI, Dr K Ganisan berkata, sekiranya bakteria ini menyerang bahagian terminal daun, keseluruhan terminal itu akan nekrotik reput, terkulai dan patah yang mengakibatkan pokok betik mati secara perlahan-lahan.

Beliau berkata, pe­nyakit ini boleh mengakibatkan 100 peratus kemusnahan dan berbahaya untuk industri betik negara kerana ia mudah merebak melainkan memusnahkan semua tanaman betik di ladang berkenaan.

“ISR ialah satu pendekatan untuk meningkatkan kerintangan pokok terhadap makhluk perosak. Kerintangan ini boleh diaruh dengan menginokulasi inokulan ISR pada pangkal pokok.

“Teknik kawalan ini sudah diuji di ladang pengusaha dan berjaya mengawal penyakit mati rosot hingga 95 peratus. Pendekatan ISR ini juga boleh diguna pakai untuk penghasilan betik secara konvensional dan organik.

“Ia juga bersifat mesra alam kerana tidak mempunyai bahan kimia berbahaya untuk kawalan penyakit,” katanya selepas ditemui pada majlis pelancaran pakej ISR di Dengkil, Selangor, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek. Turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Sharif Haron dan Pengarah Urusan Exotic Star (M) Sdn Bhd, Jeffry Choong.

Sementara itu, Nogeh berkata, teknologi ini antara teknik pengaruhan kerintangan dan ketahanan pokok betik melalui inokulasi atau aplikasi bakteria bermanfaat ke akar pokok.

“Teknologi ini juga antara teknologi hijau yang bersifat mesra alam kerana tiada bahan kimia yang berbahaya digunakan untuk kawalan penyakit.

“Menerusi penggunaan teknologi ISR ini, pengeluaran betik dapat ditingkatkan dan secara tidak langsung eksport buah ini juga meningkat serta mewujudkan kembali industri hiliran yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Pengusaha perlu mengambil peluang untuk menggunakan teknologi ini secara meluas. Mereka perlu mematuhi dan me­laksanakan amalan perladangan baik bagi mendapat kesan kawalan yang maksimum dengan menggunakan ISR,” katanya.

Sharif berkata, hasil kajian teknologi ini selama enam tahun terbukti dapat mengawal penyakit mati rosot dengan berkesan kerana teknik ISR sudah diuji sebanyak tujuh kali di kawasan yang mudah dijangkiti penyakit.

“Satu teknologi sokongan untuk mempermudahkan proses aplikasi inokulan ISR turut dihasilkan melalui aktiviti Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang dikenali sebagai Adjustable Volume Liquid Gun (AVLG).

“Alat ini mampu menyiram inokulan ISR mengikut isipadu yang ditetapkan. Penggunaan alat ini mampu mempercepatkan proses aplikasi inokulan ISR dan mengurangkan kos penggunaan buruh,” katanya.

Menurutnya, peng­usaha betik tempatan dapat menggunakan teknologi ini secara meluas dan meningkatkan produktiviti selaras objektif Dasar Agro-Makanan 2011-2020.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 10:13am
d