agro

Potensi tinggi pasaran dalam, luar negara

Oleh Mohamad Hussin

Halia atau nama saintifiknya Zingiber officina le ross antara rempah ratus yang bukan saja banyak digunakan dalam masakan Timur dan Barat malah antara rempah perasa serta ubatan yang terpenting di dunia.

Halia juga boleh diproses untuk pengeluaran minyak dan hasil ekstrak. Bahan aktif di dalam ekstrak halia ialah gingerols dan oleoresin.

Minyak halia boleh dijadikan bahan perisa minuman buah-buahan, konfeksionari, kosmetik dan perubatan.

Biasanya dalam perubatan, ia diambil dalam bentuk minuman halia, halia kering, air rebusan halia atau pati halia sementara dalam masakan pula dalam bentuk halia segar, halia kering dan halia bergula.

Selain itu, halia juga boleh diproses sebagai serbuk halia, halia jeruk dan bahan perasa untuk pelbagai makanan seperti sos serta bakeri.

Keluasan penanaman halia di Malaysia adalah 940.24 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 13,362 metrik tan pada 2016.

Pahang antara pengeluar terbesar tanaman halia dengan jumlah pengeluaran sebanyak 7,528.52 tan metrik.

Dua varieti halia yang sudah lama ditanam di Malaysia ialah Bentong (halia Bukit Tinggi) dan Tanjung Sepat (halia Indonesia).

Halia Bentong mempunyai rizom besar dan menarik rupa bentuknya dengan isi berwarna pucat keputihan. Varieti ini kurang berserabut dan bermutu tinggi.

Penanaman halia Bentong di Kampung Bukit Tinggi dan Kampung Janda Baik di daerah Bentong, Pahang.

Sistem penanaman halia di kawasan itu adalah secara giliran dengan tanaman sayur-sayuran yang lain. Keluasan penanaman di Bentong pada 2016 membabitkan keluasan 395 hektar dengan penyertaan 350 usahawan.

Pengeluaran pada 2016 sebanyak 7,382.399 kilogram (kg) membabitkan nilai pengeluaran sebanyak RM64 juta.

Halia Bentong mempunyai nilai potensi tinggi bagi pasaran dalam dan luar negara apabila harga ladang sekitar RM8 hingga RM20 sekilogram.

Seorang pengusaha halia, Mohamad Ithnin Majid, 54, dari Janda Baik, berkata rasa halia Bentong lebih pedas, serabut lebih halus dan wangi manakala kandungan seratnya tinggi menyebabkan antara halia terbaik lagi disukai ramai.

“Saya mengusahakan tanaman halia ini sejak 25 tahun lalu membabitkan keluasan 0.4 hektar. Halia ini boleh dituai antara lapan hingga sembilan bulan,” katanya.

Chang Kee Meng, 52, dari Bukit Tinggi, berkata dia mengusahakan tanaman itu sejak 30 tahun lalu dan mengeluarkan hasil antara 300 hingga 400kg bagi satu musim.

“Selepas musim pertama tanaman halia ini saya akan selang-selikan dengan tanaman lain seperti kacang botor dan kacang buncis kerana tanah di sini perlu direhatkan dalam tempoh tiga tahun sebelum penanaman semula dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pengeluaran halia Bentong di kawasan seluas kira-kira 395 hektar pada masa ini ialah kira-kira 7,000 tan metrik.

Beliau berkata, pengeluaran halia Bentong mendapat permintaan tinggi masyarakat dalam dan luar negara dan ia perlu dipertingkatkan.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha meningkatkan jumlah pengeluaran halia Bentong.

“Perkara utama ialah tanah kerana halia Bentong hanya boleh dikeluarkan di Bentong yang belum ada teknologi untuk bawa halia itu ke tempat lain.

“Malah tanah yang digunakan untuk penanaman halia Bentong juga perlu direhatkan dua atau tiga tahun sebelum tanaman semula dilakukan.

“Jadi kita memerlukan kerjasama pejabat tanah dan sebagainya untuk melihat cara penggunaan tanah untuk meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke kawasan tanaman halia di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bentong merangkap Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek dan Pegawai Daerah Datuk Azhar Arshad.

Selain itu, katanya, sebuah pusat pengumpulan dan pemasaran pertanian bernilai kira-kira RM1 juta akan dibina di Bukit Tinggi dalam usaha meningkatkan pemasaran hasil pertanian di daerah ini.

“Kami sudah mengenal pasti lokasi pusat berkenaan yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Pusat pengumpulan dan pemasaran dengan konsep Bentong Fresh ini akan memasarkan pelbagai produk pertanian di daerah ini termasuk halia Bentong,” katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 1:14pm
d