agro

Pilih konsep pendidikan, komersial

Oleh HM Digital

Minat bidang penternakan dan memiliki kambing, namun tidak tahu cara memulakan kerjaya itu menyebabkan Ho Juan Aun, 49, ‘hilang arah’ selama beberapa minggu pada 2004.

Bimbang kambing terabai, Ho kemudian ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar (PPV) Daerah Barat Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang bagi mendapatkan nasihat berkenaan penjagaan kambing dengan baik dan teratur.

Anak kelahiran Balik Pulau ini berkata, melalui agensi terbabit, beliau diberi penerangan berkenaan kawalan kesihatan, langkah pencegahan penyakit, cara menjaga kebersihan kambing dan perahan susu.

Selain itu, beliau turut diajar penyediaan enzim daripada buah-buahan dan gula merah sebagai minuman kepada ternakan atau dicampur dengan daun gajah sebagai makanan.

“Agensi berkenaan memberi tip bagi mencegah bau apabila enzim terbabit perlu disembur di sekitar kandang bagi menghalang serangan serangga terutama lalat.

“Daripada hanya menternak dua ekor, saya membeli 30 lagi kambing baka Saanen dari New Zealand dan mendirikan kandang sedikit demi sedikit,” katanya.

Ho berkata, dia turut membina sendiri kandang kambingnya selepas ia membiak dengan banyak beberapa tahun kemudian, namun ketika sedang bertukang, beliau mendapat ilham untuk membuka ladang berkenaan kepada kunjungan orang ramai dan sebagai tarikan pelancong.

Beliau memilih konsep pendidikan dan komersial kerana mahu menarik minat golongan muda menceburi bidang penternakan yang mempunyai nilai pasaran tersendiri.

Menurutnya, lapan tahun kemudian iaitu pada 2012, beliau membuka ladang kambing ini kepada kunjungan orang ramai dan sambutannya sangat menggalakkan, malah cepat dikenali melalui rangkaian media sosial.

“Malah kini jumlah kambing sudah mencecah 100 ekor dan saya turut memberi tumpuan terhadap pasaran produk tenusu seperti susu kambing, yogurt, aiskrim dan kuih pau berperisa susu kambing.

“Sebanyak 200 botol bersaiz 250 mililiter (ml) yang bersamaan 40 liter sehari dipasarkan ke sekitar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, malah ia boleh disimpan hingga 40 hari sekiranya ditempatkan dalam peti sejuk beku.

“Terdapat tiga perisa susu iaitu asli, coklat dan strawberi sementara aiskrim pula mempunyai perisa coklat, asli, vanila serta teh hijau,” kata bapa kepada empat anak ini.

Kini Ho dibantu anak ketiganya, Ho May Teng yang juga minat dalam bidang penternakan dan tidak menang tangan menerima pelawat yang boleh mencecah sehingga 400 pengunjung bagi tempoh seminggu.

May Teng berkata, di ladang itu, mereka turut membela rusa, kucing, anjing, hedgehog atau landak mini, sugar glider, arnab, burung unta, ayam, angsa dan guinea pig bagi memberi pengalaman kepada pengunjung mengenali seterusnya mencintai haiwan. -Zuhainy Zulkiffli

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 1:17pm
d