agro

Cantas elektrik kurangkan kos

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Sejak 2007, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus giat menjalankan penyelidikan dan inovasi bagi menghasilkan pelbagai versi mesin pemotong tandan sawit yang diberi nama Cantas.

Mesin pertama yang dihasilkan dapat meningkatkan produktiviti tuaian dua kali ganda berbanding kaedah manual menggunakan galah atau sabit.

Namun, usaha MPOB tidak terhenti di situ dan sentiasa menambah baik teknologi bagi meningkatkan kecekapan pengendalian, kualiti, keselamatan serta keselesaan pengguna.

MPOB juga komited menyahut saranan kerajaan untuk mempergiat penggunaan teknologi hijau bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Pada Julai tahun ini, MPOB memperkenalkan mesin Cantas Elektrik iaitu hasil inovasi ketiga sejak 2007 yang menggunakan tenaga elektrik.

Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Kushairi Din, berkata inovasi terkini itu dapat membantu peneroka dan pekebun keicl mengurangkan kos penuaian sebanyak RM1,000 setahun berbanding penggunaan mesin yang diperkenalkan sebelum ini.

“Berbanding mesin Cantas Evo sebelum ini, Cantas Elektrik dikuasakan dengan bateri 20 volt yang ternyata dapat mengurangkan kos penuaian hingga RM1,000 setahun untuk satu mesin.

“Cantas Elektrik adalah hasil inovasi daripada mesin Cantas Evo yang dikuasakan dengan enjin dan menggunakan minyak petrol,” katanya.

Walaupun ia belum dikomersialkan dan masih dalam fasa prototaip, MPOB yakin dapat memasarkan mesin itu bermula pertengahan tahun hadapan.

“Kami baru siapkan prototaip dan ia belum dikomersialkan lagi tapi, ia sudah menarik minat serta dirisik sebuah syarikat antarabangsa dari Sweden dua syarikat tempatan.

“Ia dijangka menembusi pasaran bermula pertengahan tahun hadapan dengan harga jualan sekitar RM4,000 seunit,” katanya.

Mesin dengan ketinggian sekitar 7 meter dan seberat 7.6 kilogram itu dapat bertahan hingga 20 volt atau berupaya memotong 200 tandan pokok sawit sekiranya bateri penuh.

Ahmad Kushairi berkata, mesin yang mesra alam itu juga lebih ergonomik dan ringan.

“Cantas Elektrik memperkenalkan ciri kurang getaran, kurang bising, tidak panas dan mudah diselenggara.

“Ciri-ciri ini diperkenalkan rentetan mesin Cantas Evo sebelum ini yang menggunakan enjin dan membawa kepada pencemaran asap ekzos, bunyi bising, getaran dan enjin berat.

“Ini mendorong MPOB untuk mencari alternatif bagi alat penuai yang mesra pengguna dan mesra alam sejajar dengan usaha untuk menerapkan teknologi hijau atau penggunaan sumber tenaga diperbaharui bagi memberi manfaat kepada manusia serta bumi,” katanya.

Prototaip Cantas Elektrik yang dibangunkan juga membabitkan kos penyelenggaraan dan operasi lebih rendah.

Selain teknologi Cantas Elektrik, MPOB turut menawarkan teknologi kejenteraan ladang untuk tujuan pengkomersialan seperti Jentera Pemungut Buah Lerai Sawit (Oil Palm Loose Fruit Colecting Machine with Elevated Discharge Mechanism).

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 12:42pm
d