agro

Peladang pelbagai kegiatan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Usaha Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) melaksanakan transformasi termasuk mempelbagaikan perniagaan asas tani membolehkan pertubuhan berkenaan terus melakar kejayaan membanggakan.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNJ Datuk Saipolbahri Suib berkata, biarpun berdepan suasana ekonomi mencabar, PPNJ mengharunginya dengan kekuatan gerakan, pengurusan modal dan kewangan baik serta berdisiplin dalam kawalan kos.

Beliau berkata, bagi tahun kewangan tahun lalu, PPNJ mencapai keuntungan bersih daripada operasi sebanyak 19 peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

“Keuntungan berkenaan sebelum peruntukan hutang sangsi dan susut nilai pelaburan adalah berjumlah RM15.68 juta.

“Malah, selepas mengambil kira peruntukan hutang sangsi, susut nilai pelaburan, rizab berkanun dan sumbangan kepada Yayasan Pelajaran Peladang (YPP), maka keuntungan bersih boleh bahagi RM6.34 juta,” katanya dalam ucapan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PPNJ Kali Ke-39 Tahun 2017.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Hotel Phoenix Forest City di Iskandar Puteri, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Zainal Dahalan dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Ismail Mohamed.

Saipolbahri berkata, PPNJ akan terus bergerak kehadapan demi melaksanakan rangka dan tanggungjawab yang perlu di gembeleng selari hasrat kerajaan dalam meningkatkan pengeluaran makanan negara.

“PPNJ yakin sokongan padu ahli termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), kerajaan negeri, LPP, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), malah sokongan kuat daripada kakitangan sendiri akan merancakkan lagi perancangan PPNJ masa hadapan.

“Keyakinan ahli kepada PPNJ amat kukuh apabila sejumlah RM3.80 juta saham baru pada tahun lalu dilanggan dengan modal kerja meningkat RM13.58 juta kepada RM68.56 juta pada tahun kewangan 2016,” katanya.

Berikutan itu, katanya ia membolehkan PPNJ terus merencana perniagaan dan pelaburan untuk menerbitkan pendapatan tinggi, mencapai buangan sifar serta pengeluaran produk tambah nilai.

“PPNJ terus dikenali melalui pengeluaran ayam daging yang bersih, suci dan halal dan meneruskan perancangan pembesaran industri ayam.

“PPNJ akan menambah reban ayam baka daripada sembilan ke 15 reban, selain meningkatkan operasi kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam daging daripada 12,000 ekor kepada 15,000 ekor sehari,” katanya.

Menurutnya, PPNJ juga melabur RM5 juta dalam NAFAS Feedmills Sdn Bhd bagi menghasilkan makanan ayam.

“PPNJ akan menyokong penuh usaha NAFAS mengeluarkan makanan ternakan, selain Bahagian Penyelidikan dan Perundingan PPNJ sedang giat aktif untuk menghasilkan plot tanaman jagung bijian.

“Ia bagi menghasilkan benih jagung bijian hibrid F1 membabitkan varieti yang didatangkan dari Korea dan penghasilannya untuk keperluan PPNJ dan ahli peladang terbabit dengan projek jagung bijian pada masa akan datang.

“PPNJ perlu merangka dan merancang pengeluaran bijian jagung yang konsisten demi keperluan semasa NAFAS Feedmills yang memerlukan dua hektar bijian jagung sehari pada masa kini dan dijangka 16 hektar sehari pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, PPNJ turut memberikan ruang usahasama dengan syarikat swasta bagi menghasilkan produk gentian panjang tandan kosong sawit untuk dieksport ke China.

“Di dalam bidang ternakan lembu pula, PPNJ komited untuk melaksanakan sistem pawah kepada ahli peladang dan bergiat aktif untuk meningkatkan kadar kelahiran lembu termasuk melalui kaedah permanian beradas yang sudah mula dipraktikkan PPNJ.

“Manakala pembinaan Wisma Peladang dengan ketinggian enam tingkat di Kampung Maju Jaya, Kempas di Johor bakal membabitkan kos bernilai RM54 juta bagi pembinaan ruang pejabat baharu untuk PPNJ,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 2:25pm
d