agro

Kesan bukan nelayan sembarangan

Oleh Mohamad Hussin

Kumpulan Keselamatan Nelayan (KKN) yang berorientasikan konsep kesukarelawanan ditubuhkan sebagai satu inisiatif kerajaan dalam membantu misi bencana alam atau misi menyelamat bagi kemalangan di laut dan darat membabitkan masyarakat nelayan.

KKN juga membantu pelaksanaan pengurusan perikanan kepada masyarakat dan industri perikanan negara. Ia gabungan antara Sukarelawan Perikanan (SUPER) dan Kumpulan Keselamatan Nelayan (KUKENAL).

Kini mereka dikenali sebagai Kumpulan Keselamatan Nelayan (KESAN) bertujuan meningkatkan keupayaan pasukan dalam menjalankan aktiviti keselamatan di kawasan masing-masing.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, objektif KKN adalah untuk menjadi sebuah organisasi sukarelawan yang cekap dalam misi operasi bencana alam atau misi mencari dan menyelamat bagi kemalangan di laut terutama yang membabitkan nelayan.

Beliau berkata, kumpulan ini digabungkan untuk memantapkan dan meningkatkan sinergi kedua-dua pasukan selain meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan aktiviti keselamatan di kawasan nelayan.

“Hingga kini, hampir 8,500 orang nelayan mengganggotai KESAN di seluruh negara. Antara aktiviti KESAN ialah menyalurkan maklumat mangsa bencana atau kemalangan di laut kepada Bilik Gerakan Bencana Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk tindakan lanjut.

“Bekerjasama dengan pasukan penyelamat dan membantu di dalam operasi pemindahan mangsa bencana alam ke pusat penempatan yang ditetapkan atau operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi kemalangan di laut.

“Membantu operasi pembersihan kawasan perkampungan nelayan yang terbabit dalam bencana, mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan keselamatan kepada ahli KESAN di dalam operasi bencana alam atau SAR bagi kemalangan di laut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran KESAN sempena program Gelombang Nelayan Nasional 2017 (GNN 2017) di Pantai Kuala Kerteh, Kemaman, Terengganu, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pengarah LKIM Datuk M Saedon Ab Majid.

Ahmad Shabery berkata, bagi melahirkan anggota kumpulan yang berkemahiran, jabatan dan agensi kerajaan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam memberi kemahiran kepada anggota KESAN secara kursus dan amali.

“Mereka diberi pendedahan dengan kemahiran keselamatan di laut seperti pengenalan kepada PFD (personal floating device), latihan bantuan pernafasan (CPR), teknik balutan serta teknik menyelamat mangsa di laut.

“Selain itu, usaha Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi Program eRakam melalui penggunaan aplikasi Kesedaran dan Keselamatan Komuniti Maritim (K3M) sebagai saluran komunikasi kepada agensi penguat kuasa dalam mengumpul maklumat lebih pantas untuk memastikan keselamatan perairan.

“Aplikasi mobile ini membolehkan pengguna menghantar isyarat kecemasan (SOS), menghantar aduan, menghubungi agensi penguatkuasa dan menyemak status ramalan cuaca serta pasang surut air laut,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 11:22am
d