agro

VETMART bantu pasarkan produk

Oleh Mohamad Hussin

Pembukaan Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk (VETMART) dilihat sebagai satu strategi membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) memasarkan produk industri asas tani (IAT).

VETMART juga antara usaha Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor bagi mengelak pembaziran bangunan kerajaan yang sudah ditutup, namun masih dalam keadaan baik untuk digunakan.

Pengarah Perkhidmatan Veterinar Selangor Dr Akma Ngah Hamid berkata, pihaknya mewujudkan VETMART kerana ia membantu usahawan tempatan memasarkan produk mereka.

Beliau berkata, pada asalnya, bangunan ini adalah Pusat Veterinar Kecil (PVK) Parit Baru, yang memberikan perkhidmatan kerajaan berkaitan penternakan.

“Memandangkan sistem jalan raya yang semakin baik dan kedudukannya tidak begitu jauh dari Pejabat Perkhidmatan Veterinar (PPV) Daerah Sabak Bernam di Sungai Besar maka PVK ini sudah ditutup pada 2006 dan dijadikan kuarters kakitangan saja.

“Pada 2016, bangunan ini dinaik taraf dengan kos RM100,000 untuk dijadikan Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Industri Asas Ternak (IATn).

“Ia diberi nama VETMART kerana JPV Selangor menyewakan bangunan ini kepada operator yang berkelayakan.

“Operator terbabit akan mengumpulkan produk daripada usahawan lain untuk membantu memasarkan produk berkenaan dengan komisen yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian VETMART Parit Baru dan pelancaran buku Direktori Usahawan Ternakan Negeri Selangor 2017 di Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Zaidy Abdul Talib.

Turut hadir, pemilik syarikat MYL Global Sdn Bhd Mohd Suhaimi Kamaruzaman yang terpilih sebagai operator pertama VETMART Parit Baru.

Dr Akma berkata, buat permulaan, VETMART ini menjual lebih 20 jenis produk yang terdiri daripada produk sendiri dan produk yang dikumpulkan daripada pengusaha berasaskan penternakan, pertanian dan perikanan.

Sementara itu, Mohd Suhaimi berkata, menerusi VETMART ini, dia juga dapat memasarkan ternakan ayam kampung yang diusahakan sendiri jenama Myladang dengan lebih mudah.

“VETMART ini beroperasi sejak Julai lalu, saya menjual pelbagai jenis makanan dan keperluan harian membabitkan produk yang dikeluarkan usahawan Muslim.

“Ia semakin menarik perhatian orang ramai kerana menjadi pusat sehenti kepada pelbagai jenis produk IAT dari seluruh negeri,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 11:31am
d