agro

Tempurung jadi arang

Oleh Nordiana Shafiee

Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menghasilkan arang dari tempurung kelapa menerusi projek Co & Coal sekali gus mengurangkan lambakan bahan buangan tempurung kelapa yang mencecah 80,000 tan setahun dalam negara.

Pasukan Enactus dari Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM itu mendapat idea pada tahun 2014 selepas melihat pembaziran tempurung kelapa di kawasan Kedah lalu memberi inspirasi kepada pasukan berkenaan.

Pengarah projek, Chuang Hui Chang berkata, proses penghasilan arang kelapa itu mempunyai empat peringkat iaitu proses pemanasan tempurung kelapa, proses pengisaran, proses pembentukan dan proses pengeringan.

Katanya, bagi proses pertama iaitu pemanasan memerlukan masa kira-kira dua jam bagi proses pengkarbonan dan seterusnya proses pengisaran tempurung bagi dijadikan serbuk arang halus.

“Kemudian proses pembentukan menggunakan acuan khas apabila serbuk arang akan diadun dengan tepung jagung dan diletakkan dalam acuan selain berakhir dengan proses pengeringan dibawah cahaya matahari.

“Co & Coal projek yang berpotensi untuk berkembang maju dan menyasarkan lebih ramai individu termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian untuk melabur dalam projek ini.

“Kami juga menjual arang ini pada RM4 sekilogram kepada peniaga sate, pekedai runcit dan restoran yang tidak mempunyai bekalan arang mencukupi bagi perniagaan mereka, malah kini Enactus juga dalam proses muktamad mendapat kontrak pesanan dari Johor Bahru untuk serbuk arang kelapa dan arang kelapa,” katanya.

Chuang yang juga pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan itu berkata, tempurung kelapa biasanya dibuang atau dibakar kerana tiada cara pelupusan yang betul, namun melalui inisiatif itu, penduduk luar bandar sekitar Kedah dapat menjana pendapatan sampingan.

“Selain itu, ia dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar akibat pembuangan sisa tempurung kerana pembakaran dibuat secara selamat melalui kaedah ‘closed double barrel burning’.

“Seramai 26 ahli Enactus dari pelbagai jurusan ketika itu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama enam bulan sebelum bergerak secara lebih serius termasuk mendapatkan khidmat pakar dari Amerika Syarikat dan Australia bagi merealisasikan idea ini.

“Projek Co & Coal adalah program di bawah Enactus UUM yang dijalankan organisasi antarabangsa dengan kerjasama 1,600 institusi pengajian tinggi (IPT) membabitkan 39 negara bertujuan menggerakkan pelajar menjalankan projek komuniti, selain membina kemahiran tanggungjawab sosial,” katanya.

Menurutnya, Co & Coal memberi fokus kepada pembaziran tempurung kelapa dan bekalan tempurung kelapa itu diterima daripada pembekal santan setempat dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) secara percuma.

“Projek ini juga akan diusulkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mendapatkan geran penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan,” katanya.

Inovasi itu berjaya menjadi johan pada Academic and Research Exhibition (ACADREX) 2017 yang berlangsung di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak, baru-baru ini.

Pasukan Enactus telah mengetepikan 16 pasukan lain dari 10 universiti seluruh negara yang mengambil bahagian dan kemenangan itu membolehkan Enactus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan geran bernilai RM20,000.

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 11:37am
d