agro

Membesar setinggi 1.5m

Oleh HM Digital

Pernah berdepan kegagalan sebelum ini bukan penghalang bagi usahawan muda, Mohd Azlan Hashim, 38, untuk bangkit dan berjaya dalam penanaman cili di kawasan terbiar di FELDA Sebertak, Bera, Pahang.

Biarpun sebelum ini beliau kecewa apabila projek tanaman timun diusahakan di bawah penyeliaan sebuah agensi terbengkalai, Mohd Azlan kembali bangkit memandangkan jiwanya sinonim dengan dunia pertanian.

Katanya, kegagalan pertama itu memberikan pengalaman berharga kepada dirinya untuk mendalami selok-belok bidang berkenaan dan akhirnya membuat keputusan mengusahakan tanaman cili.

“Saya memang kecewa dengan pengalaman sebelum ini. Bertahun-tahun saya mengusahakannya bersama peserta lain, tapi apa yang kami lakukan tidak dipandang, malah dikatakan projek itu mengalami kerugian.

“Dari tiada pengetahuan, saya belajar sendiri. Kerja seperti buruh tapi masa itu saya fikir tidak apa sebab nak berjaya, kena banyak berkorban, tetapi usaha tidak berbaloi.

“Sebab itu, sekarang saya nekad mahu membuktikan saya boleh buat. Walaupun kena keluarkan modal besar, bergolok-bergadai sekalipun, asalkan boleh buat kebun ini dan berjaya, saya bersyukur,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata, selain perkongsian ilmu dengan mereka yang berpengalaman, bimbingan dan pemantauan berkala pejabat pertanian daerah juga banyak membantunya dalam penjagaan 3,000 pokok cili di kebunnya.

Katanya, bagi projek tanaman cili itu, beliau mengeluarkan modal lebih RM60,000 untuk infrastruktur dan kerja operasi di kebunnya, malah berhasrat membuka kebun tanaman timun secara fertigasi gantung pula bersebelahan kebun cili itu.

“Saya kena fokus dulu dengan cili ini. Kalau ia sudah dapat menampung kos modal dan ada untung, bolehlah saya teruskan tanaman timun pula.

“Setakat ini, kira-kira 10 hari petikan cili dilakukan dengan kutipan melebihi 1,000 kilogram (kg), maknanya purata kira-kira 100kg sehari,” katanya.

Bagi memastikan pokok cilinya dalam keadaan baik dan mampu mengeluarkan hasil yang banyak, Mohd Azlan sentiasa memantau kebunnya dengan dibantu beberapa pekerja.

Menurutnya, cili diusahakan boleh membesar setinggi 1.5 meter dan bagi sepokok cili mampu mengeluarkan hasil hampir sekilogram untuk sekali tuaian.

“Saya terpaksa mengikat dahan pokok cili pada tali yang dipasang di batas bagi memastikan dahan tidak patah jika hasil terlalu banyak.

“Cili jenis ini akan keluarkan hasil yang banyak, kalau tak ditahan atau diikat pada tali, ia akan patah. Jadi, rugilah tak dapat nak ambil hasil nanti,” katanya.

Mohd Azlan berkata, hasil tuaian dihantar ke Pusat Pengumpulan Hasil Tani (PPHT) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh, sebelum dihantar ke PPK Hulu Langat, Selangor, berikutan tawaran harga jual beli yang konsisten di sana.

“Selain itu, saya turut menghantar hasil tuaian kepada peraih tempatan memandangkan permintaan tinggi daripada pengguna di sini,” katanya. -Shahrinnahar Latib

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 12:49pm
d