agro

Perluas aplikasi bioteknologi

Oleh Mohamad Hussin

Projek Bio Desaru yang dikenali sebagai Lembah Makanan Organik Kebangsaan begitu signifikan dalam menyahut usaha kerajaan ke arah memperkukuhkan rantaian pengeluaran makanan.

Ia sekali gus dapat memperluaskan aplikasi bioteknologi secara berkesan dalam mengkomersialkan produk keluaran pertanian.

Bio Desaru anak syarikat Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) berjaya membawa pelaburan dalam sektor biopertanian membabitkan aktiviti bio-penanaman, bioakuakultur dan bioternakan.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan membabitkan komuniti setempat dalam aktiviti pembangunan bioekonomi sektor di Johor.

Beliau berkata, inisiatif pertama yang dilaksanakan Bio Desaru itu membabitkan majlis pertukaran perjanjian (MoA) dengan pelabur bagi pembangunan dua projek akuakultur di Bio Desaru.

“Pertama, projek penetasan, asuhan dan ternakan ketam nipah serta ikan marin oleh pelabur RBI Group (M) Sdn Bhd dengan pelaburan berjumlah RM4 juta.

“Sementara projek kedua membabitkan projek akuakultur menggunakan sistem Malaysia Retirculation Aquaculture System atau RAS2020 oleh pelabur Aqua Partners International (M) Sdn Bhd dengan pelaburan berjumlah RM500 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis MoA, Pelancaran Projek Perintis Tanaman dan Pemprosesan Huluan Kenaf, Perasmian Lembah Tenusu Desaru serta Desaru Cheese di Bio Desaru, dekat Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Tinggi Dr Badrul Hisham Kassim, Ketua Pegawai Eksekutif J-Biotech Asman Shah Abd Rahman dan Ketua Pengarah Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd (Holstein) Azmi Zainal.

Mohamed Khaled berkata, pembangunan pusat penetasan dan ternakan bagi ketam nipah mengguna pakai konsep ‘vertical farming’ daripada kotak ‘polyethylene.’

“Sementara bagi projek ikan marin, fokus diberikan kepada spesies ikan bernilai tinggi seperti ikan merah, jade perch dan siakap dengan mengaplikasikan teknologi akuakultur dari Jepun, Taiwan dan Thailand.

“RAS2020 adalah teknologi apabila pengeluaran ikan marin mengguna pakai semula air yang sudah dirawat dan dinyah penyakit serta di bawah persekitaran terkawal menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia menggunakan teknologi seumpama ini.

“Projek ini membabitkan tanah berasaskan fasiliti akuakultur yang secara tidak langsung menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar selain meningkatkan jumlah pengeluaran,” katanya.

Menurutnya, antara cadangan spesies ikan ternakan adalah salmon dan ‘steelhead trout’ serta spesies tropika seperti Siakap, tilapia dan kerapu.

Selain itu, beliau berkata, projek perintis tanaman dan pemprosesan huluan kenaf selaras dengan pelan tindakan pengkayaan biodiversiti hutan dan asas tani sebagai sumber industri berasaskan bio.

“J-Biotech akan membangunkan projek perintis bagi mengenal pasti komponen tanaman kenaf di kawasan seluas 12 hektar di Bio Desaru dengan nilai pelaburan sebanyak RM250,000.

“Selari dengan peranan Bio Desaru sebagai hab bio-organik dan pengeluaran makanan kebangsaan dalam mengenal pasti sumber dan kepakaran daripada syarikat peneraju untuk bekerjasama dengan peserta daripada kumpulan komuniti setempat dan koperasi setempat bagi pelaksanaan dalam pembangunan projek yang sudah dikenal pasti.

“Fasa pertama yang dimulakan di Bio Desaru sendiri dijangka membabitkan dua projek iaitu penanaman nanas MD2 dan moringa dengan anggaran pembabitan seramai 20 peserta,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 11:25am
d