agro

Tauke lembu daging

Oleh Omar Ahmad

Berkat mempelajari ilmu keusahawanan daripada bapa sejak di bangku sekolah, kini pemilik Desa Selatan Beef Sdn Bhd, Kamarruzaman Abdul Jalil, 35, bukan saja bergelar pengusaha dan pengeluar daging lembu, malah menjadi penternak lembu pedaging.

Kamarruzaman berkata, dia mula mempelajari perusahaan dengan menjual daging lembu sejuk beku daripada bapanya sejak di bangku sekolah.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya terus mengusahakan perniagaan keluarga selama sembilan tahun dan dari situ saya mempelajari selok-belok perusahaan.

“Dari situ saya memerhati dan membuat kira-kira penjualan daging sejuk beku saja tidak memberi pulangan yang lumayan lantas saya mencuba untuk menternak lembu pedaging sendiri.

“Saya mula menternak lembu sendiri pada 2008 dengan baka lembu kampung 15 ekor pada masa itu.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan dan kini saya memiliki lebih daripada 10 baka lembu tempatan serta kacukan,” katanya ketika ditemui pada pameran di Pavillion Keusahawanan Johor dan Agro Johor, Ekspo Johor Berkemajuan di Iskandar Puteri, Johor, baru-baru ini.

Menceritakan pengalaman sebagai penternak lembu, Kamarruzaman berkata, dia juga menghadapi masalah yang sama dengan penternak lain.

Katanya, penyakit kuku dan mulut (FMD) dan Brucellosis antara yang pernah dihadapi lembu ternakannya, namun berjaya diatasi dengan melakukan vaksin daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor.

“Sekarang ini saya lebih fokus pada penternakan dengan membeli lembu dan dipelihara dalam tempoh tiga hingga empat bulan sebelum dijual semula khususnya pada musim perayaan.

“Pada Aidiladha lalu, saya mempunyai 1,200 lembu yang diletakkan di Ladang Sungai Labak Kota Tinggi, Johor dan menjual 900 ekor untuk ibadat korban.

“Selain membeli lembu untuk memenuhi pasaran dan permintaan, saya juga membeli lembu kacukan untuk pembekalan sperma berkualiti bagi melakukan permanian berhadas (AI) yang dipantau JPV negeri,” katanya yang kini mempunyai 30 pekerja.

Tambah Kamarruzaman yang juga Presiden Generasi Transformasi Ruminan (GTR), dia mempunyai lebih 10 baka berlainan bagi lembu kacukan yang dipelihara bagi tujuan AI dan pameran.

“Lembu terbaru yang dipelihara adalah lembu dari jenis Lemousin yang berasal dari Perancis dan sudah dikacukkan dengan Brahman dari Australia.

“Malah lembu yang bernama Sani yang mencapai berat satu tan itu, saya peroleh selepas berjaya meneka beratnya pada peraduan ‘Cuba Teka Berat Lembu Sado’ sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK 2017) dan Festival Makanan Malaysia di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), September lalu.

“Selain baka itu, saya juga mempunyai lembu dari pelbagai baka antaranya Brahman kacuk Charolais, Murray Gray, Hereford, kacukan Belgium Blue, Brahman, Brakmas, Jersie Friesian dan pelbagai lagi,” katanya.

Menyentuh berkenaan makanan lembu, Kamarruzaman berkata, dia menggunakan dedak sebagai formula untuk meningkatkan berat badan haiwan itu.

Bagaimanapun, makanan harian yang berkhasiat perlu diberi supaya haiwan ternakannya membesar dengan sihat.

“Saya membuat sendiri makanan lembu dari bahan kitar semula yang terdiri daripada pelepah sawit, isirung sawit, hampas nanas, hampas soya, rumput napier dan rumput kering,” katanya.

Pada masa sama Kamarruzaman pernah menerima Anugerah Perdana sempena HPPNK 2017 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 12:03am
d