agro

SOP kurang pembaziran

Oleh Mohamad Hussin

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melancarkan satu garis panduan lengkap yang dinamakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurangan kehilangan lepas tuai padi.

SOP ini mengandungi panduan dan kaedah yang perlu dipatuhi ketika melaksanakan aktiviti pengendalian lepas tuai padi membabitkan keseluruhan rantaian nilai daripada penuaian, pengangkutan, pengeringan, pengilangan serta penyimpanan.

Ia bakal dijadikan panduan oleh agensi dan penyedia perkhidmatan yang terbabit di dalam industri padi dan beras negara. SOP ini dapat membantu mengurangkan kehilangan padi sementara jutaan ringgit Malaysia boleh diselamatkan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, MARDI sudah melaksanakan kajian verifikasi kehilangan lepas tuai (KLT) padi dengan jayanya bermula sejak 2015 hingga 2016.

Beliau berkata, pengurangan KLT produk pertanian termasuk padi adalah sangat penting bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) Malaysia.

“Dasar yang dirangka kerajaan selama ini seperti Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) memperlihatkan usaha berterusan dan proaktif kerajaan untuk menyokong pembangunan sektor pertanian terutamanya padi.

“Menurut Dasar Agromakanan Negara (2011-2020), SSL Malaysia bagi padi pada 2015 adalah 71.5 peratus berbanding nilai yang disasarkan iaitu 90 peratus.

“Salah satu usaha bagi merealisasikan sasaran 90 peratus SSL dicapai, maka kajian KLT ini dilaksanakan meliputi keseluruhan rantaian nilai pengendalian lepas tuai padi iaitu penuaian, pengangkutan, pengeringan, pengilangan dan penyimpanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Padi Kebangsaan 2017 dan melancarkan SOP Pengurangan KLT Padi di Subang, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Wira Othman Aziz dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Ahmad Shabery berkata, kajian ini bertujuan mendapatkan nilai kehilangan padi di sepanjang rantaian nilai dan mengenal pasti punca berlakunya kehilangan, seterusnya mencadangkan tindakan yang perlu diambil bagi mengurangkan kehilangan.

“Secara umum, KLT padi ditakrifkan sebagai kehilangan kuantiti dan kualiti ketika operasi pengendalian lepas tuai.

“Kehilangan kuantiti atau dipanggil padi tumpah banyak berlaku ketika operasi penuaian dan pengangkutan sementara kehilangan dari segi kualiti pula sering berlaku di peringkat pemprosesan primer iaitu ketika pengeringan, pengilangan serta penyimpanan.

“Antara faktor yang menyumbang kepada KLT padi adalah kecuaian operator pengendali, pelarasan jentuai yang kurang tepat dan ketidakcekapan mesin pemprosesan beras,” katanya.

Menurutnya, apabila KLT padi ini diterjemah kepada kuantiti pengeluaran padi negara dan nilai wang ringgit, jumlah kerugian adalah sangat besar.

“MARDI menggunakan data kehilangan lepas tuai yang direkodkan pada 1985 sebagai garis dasar iaitu sebanyak 28.5 peratus.

“Pada ketika itu, jumlah pengeluaran padi negara adalah 1.95 juta tan metrik dan kehilangan sebanyak 28.5 peratus bermaksud kekurangan padi berjumlah 556,000 tan metrik yang bernilai RM276 juta. Pada 1985, harga padi adalah RM496 per tan metrik.

“Bagi 2015, hasil kajian MARDI menunjukkan KLT padi kira-kira 9.97 peratus. Menerusi pengeluaran padi negara kira-kira 2.6 juta tan metrik, kehilangan kuantiti padi adalah bersamaan dengan 259,000 tan metrik padi yang bernilai kira-kira RM311 juta.

“Nilai kerugian ini dikira berdasarkan harga padi semasa iaitu RM1,200/tan. Sementara bagi tahun 2016, peratus kehilangan padi ialah 7.9 peratus atau bersamaan dengan kehilangan sebanyak 205,000 tan yang menyebabkan kerugian bernilai RM246 juta,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, apabila dibuat perbandingan data daripada kedua-dua tahun ini, kehilangan padi yang dapat diselamatkan pada 2016 berbanding 2015 adalah sebanyak 54,000 tan metrik dengan nilai yang dapat diselamatkan bernilai RM65 juta.

“Jumlah pengurangan KLT padi ini pada hakikatnya dapat membekalkan makanan kepada 0.7 juta orang penduduk Malaysia dalam masa setahun iaitu dengan mengambil kira pengambilan sebanyak 78.6 kg beras bagi setiap orang setahun,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 9:48am
d