agro

Potensi besar jagung bijian

Oleh Norizzah Baharudin

Produk jagung bijian bukan saja menjadi sumber bekalan kepada penternak ayam malah dilihat memberi potensi pasaran yang besar kepada pengusaha di negara ini.

Tidak ketinggalan, di Melaka juga kini giat melaksanakan penanaman jagung bijian yang sebelum ini mendapatkan bekalan bahan makanan ternakan itu secara import setiap tahun.

Pengusaha tanaman jagung bijian di Kampung Gapam, Melaka, Lee Nyan Hin, 52, berkata beliau sudah 30 tahun menceburi bidang pertanian yang mengusahakan ladang jagung manis dan labu kuning sebelum menyahut penanaman jagung bijian.

Lee berkata, dia memulakan penanaman jagung bijian sejak September tahun lalu selepas pasarannya boleh dikatakan kurang di negara ini dan ia peluang yang tidak boleh dilepaskan apatah lagi pada skala besar.

“Tanaman jagung bijian ini diusahakan di ladang seluas 13 hektar dan baru saja melakukan penuaian pada awal tahun ini sebelum penanaman semula dalam tempoh tiga bulan.

“Setakat ini, tiada masalah yang dilalui dengan penanaman jagung bijian kerana pemantauan dan penjagaan rapi sangat diperlukan bermula dengan penanaman, menabur baja yang sesuai, kawalan rumput, penyiraman air serta perlu memetik anak jagung untuk disemai semula.

“Ia mengambil masa kira-kira 120 hari hingga betul-betul kering dan kekuningan sebelum melakukan pengasingan bijian jagung daripada tongkolnya, diikuti kerja memasukkan jagung bijian ke dalam guni,” katanya ketika ditemui pada penuaian pertama di ladang berkenaan, baru-baru ini.

Majlis penuaian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Abdul Rahman.

Katanya, dia memulakan penanaman bahan makanan ternakan itu dengan keluasan hanya satu ekar menyedari ia membawa potensi besar sebelum meluaskan penanaman membabitkan modal RM65,000 bagi keseluruhan 13 hektar.

“Saya memanfaatkan sistem pengurusan serangga perosak bersepadu (IPM) bagi mengurangkan gangguan kerosakan daripada serangga sekali gus menghasilkan jagung bijian yang berkualiti dan bersih untuk bekalan kepada haiwan ternakan,” katanya.

“Satu hektar ladang mampu menghasilkan 5,000 hingga 6,000 tan metrik jagung bijian yang secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan negara untuk mengimport bekalan bahan makanan ternakan.

“Buat masa ini, saya membekalkan bahan makanan ternakan kepada penternak di seluruh Melaka dibantu 13 pekerja yang melakukan setiap peringkat kerja,” katanya yang mengusahakan tanaman pertanian seluas 120 hektar.

Menurutnya, proses pembajaan dilakukan sekali dalam tempoh 10 hari, meskipun menjalankan penjagaan dan pemantauan rapi namun tetap bergantung kepada keadaan cuaca apabila hujan lebat tanpa henti juga boleh menjejaskan kualiti tanaman.

Sementara itu, Hasan berkata, kerajaan negeri bakal merealisasikan penanaman jagung bijian pada keluasan 200 hektar tahun ini.

“Ia menerusi Pelan Pembangunan Jagung Bijian bermula 2016 hingga 2020. Berikutan kadar import jagung bijian yang mencapai empat juta tan metrik dengan nilai sebanyak RM3.1 bilion setahun pada kadar kebergantungan import hampir 100 peratus.

“Saya mencadangkan mana-mana usahawan yang berminat memulakan tanaman pertanian ini dengan keluasan tanah empat hektar sebelum meluaskan lagi penanaman,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 12:08pm
d