agro

Kupang bergayutan

Oleh Rashidah Ibrahim

Memang menarik apabila puluhan tali yang diikat di palang gelegar diturunkan ke dalam air dan dibiarkan beberapa lama, kemudian ‘membesar’.

Daripada tali ringan sehalus jari kelengkeng, menjadi ‘gemuk’ dan berat apabila ratusan kupang saling melekat.

Kelong yang dibina daripada kayu bakau dalam keadaan tiga aras, paling bawah tempat ternak kupang sementara di aras tengah tempat mengutip kupang yang diangkat ke pelantar atau lantai.

Pengarah Urusan Desa Keroma Eco Resort, Azwin Abdullah berkata, satu tali biasanya akan menjadi seberat 70 hingga 80 kilogram.

Beliau berkata, setiap satu kupang dikutip dengan cara ditarik satu persatu daripada kedudukannya.

“Kupang mengambil masa anggaran tujuh bulan hidup pada tali untuk mencapai tempoh matang.

“Kupang pada satu-satu tali bagaimanapun tidak membesar serentak, hanya yang matang atau besar dikutip. Sementara yang kecil dibiarkan dan ditenggelamkan semula supaya ia membesar mengikut tahap diperlukan.

“Pada binaan pelantar itu terdapat anggaran 80 tali yang dibiarkan bergayutan sebagai tempat kupang membiak,” katanya ketika ditemui pada Pakej Lawatan Bakau di Sungai Kampung Keroma, Muar, Johor, baru-baru ini.

Azwin berkata, kupang akan dibiarkan begitu saja pada tali dalam laut tanpa perlu diberi makan. Biarpun kelong milik resort, nelayan kampung dibenarkan mengutip kupang.

“Selesai melihat kupang ternak, kami kemudian turun semula ke bot menuju ke kelong tempat penternakan kerang yang kelihatannya jauh lebih kecil. Kami sekadar melewatinya, sebelum dibawa melihat bagaimana kupang diternak.

“Pakej Lawatan Bakau membabitkan kegiatan melihat matahari terbenam, mencari siput selain kunjungan ke tempat penternakan kupang serta melihat kegiatan menangkap kerang di Selat Melaka.

Desa Keroma Eco Resort adalah salah satu daripada destinasi kunjungan dalam lawatan Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia (TRAM) ke Muar Bandar Maharani Bandar Diraja Johor bulan lalu yang dianjurkan Tourism Muar dan Tourism Johor.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 7:32am
d