agro

Martabat industri herba

Oleh Mohamad Hussin

Industri herba dikenal pasti sebagai salah satu pemacu kegiatan ekonomi yang berpotensi memberi sumbangan penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi mencapai status negara maju.

Dalam perubatan tradisional, herba terbukti mengandungi pelbagai khasiat.

Khazanah semula jadi itu dijadikan bahan untuk kesejahteraan kesihatan.

Pengambilan herba tradisional sebagai bahan rawatan sudah lama dipraktikkan. Ia dikatakan mampu mengurangkan masalah kesihatan seperti angin, pening, sengal pinggang dan sakit sendi.

Dalam usaha memartabatkan industri herba, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) terbabit secara langsung dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D) berkaitan herba bermula pada 1994.

Beberapa pengusaha yang menghasilkan produk berasaskan herba mengakui kerjasama sejak peringkat awal dengan pihak FRIM memberi impak yang besar dari aspek peluang perniagaan, perkongsian penyelidikan saintifik dalam mengenal pasti potensi herba.

Pengarah Urusan Ethno Resources Sdn Bhd Azizi Jaafar berkata, FRIM antara institusi yang berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan pembangunan modal insan.

“Perkhidmatan pemprosesan herba yang disediakan Pusat Teknologi Herba (HTC) dapat menarik minat pelanggan dari luar negara terutama Russia dan China.

“FRIM banyak membantu dalam industri herba terutama dari aspek pemasaran dan berjaya memberi impak yang sangat besar terhadap perkembangan Ethno Valley dan Ethno Resources.

“Perkongsian pintar antara FRIM dan industri herba sangat diperlukan untuk menembusi pasaran luar negara. Hingga kini pihak industri masih kekurangan kepakaran dalam menjalankan R&D berkenaan teknologi herba yang juga salah satu kekuatan FRIM,” katanya.

Sementara pihak industri herba lebih fokus kepada pemasaran produk yang meliputi penjenamaan, pengeluaran, pembungkusan dan strategi pasaran.

“Sehubungan itu, kerjasama pintar ‘menang-menang’ antara FRIM dan industri herba sangat disokong,” katanya.

Pengarah Urusan BR Herba Resources Rossli Md Isa pula berkata, dia mengakui perusahaan herba kunyit putih diusahakannya semakin berkembang pesat dengan adanya inisiatif yang berterusan oleh FRIM dan kerjasama secara langsung di peringkat awal perkembangannya.

Menurutnya, jualan syarikatnya meningkat 80 peratus selepas mendapat bantuan daripada FRIM dengan memperoleh pensijilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia melalui penggunaan perkhidmatan ditawarkan HTC FRIM yang membolehkan produk saya dipasarkan dengan lebih meluas hingga ke luar negara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Biotropics Malaysia Berhad Tengku Shahrir Tengku Adnan berkata, FRIM adalah agensi perintis dalam aktiviti R&D tumbuh-tumbuhan ubatan.

Menurutnya, pembentukan perkongsian dan rangkaian R&D baru serta meningkatkan pengetahuan saintifik teknologi adalah antara impak yang memberi kesan terhadap pembangunan perniagaan dalam industri herba.

“FRIM juga menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan jualan syarikat. Rata-rata pengusaha mengakui berjaya menerima peningkatan jualan secara drastik melebihi 50 peratus selepas pembabitan FRIM dalam pembangunan perniagaan mereka.

“Biotrophics berjaya menembusi pasaran luar negara melalui produk ekstrak tongkat ali dengan peratusan pembahagian eksport ke luar negara.

“Sebanyak 80 peratus jualan meliputi beberapa negara utama seperti Amerika Syarikat, Jepun, Eropah, Asia Tengah, Vietnam, Singapura dan Hong Kong,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Herbagus Sdn Bhd Azuki Tahir berkata, tanpa FRIM, pihaknya tidak mungkin bertapak dalam industri herba seperti sekarang.

“Jika dilihat dari aspek impak yang diterima, pengusaha herba bersetuju kerjasama dari peringkat awal dengan pihak FRIM kerana kejayaan yang dicapai.

“Ia termasuk aspek peluang perniagaan, perkongsian penyelidikan saintifik dalam mengenal pasti potensi herba dan penghasilan produk berasaskan herba,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 7:45am
d