agro

Fiesta mega rumpai laut

Oleh Mohamad Hussin

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (MAFI) akan menganjurkan fiesta mega rumpai laut yang dikenali sebagai ‘Seaweed Splash 2018’, pada 30 Mac hingga 1 April ini di Semporna, Sabah.

Dijangka lebih 5,000 penggiat industri ini akan berhimpun di Semporna sekali gus mempromosikan sektor pertanian setempat sebagai kawasan pelancongan agro.

Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membabitkan penggiat rumpai laut, penjawat awam dan sektor swasta akan berterusan sepanjang tahun ini.

Ia bertujuan mempromosikan industri rumpai laut di Sabah bagi membantu meningkatkan permintaan dan pendapatan penternak sekali gus membantu meningkatkan harga semasa rumpai laut selain meluaskan potensi pasaran tempatan dan eksport.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, Sabah yang terletak di kawasan segi tiga batu karang antara penyumbang kepada pengeluaran rumpai laut merah (Rhodophyceae) spesies Kappaphycus spp dan Eucheuma spp bagi penghasilan biopolimer marin iaitu karagenan yang terbesar selepas Filipina dan Indonesia.

Beliau berkata, pada 2016, kira-kira 206,000 tan metrik rumpai laut (berat basah) bernilai RM44 juta (data borong) dihasilkan dan perusahaan ini menjadi sumber pendapatan kepada hampir 1,200 penternak di kawasan pengkulturan rumpai laut di perairan Sabah seperti di Semporna, Kunak, Tawau dan Lahad Datu yang berkeluasan 13,000 hektar.

“Di bawah Dasar Agromakanan Negara (DAN), rumpai laut dikenal pasti sebagai salah satu komoditi bernilai tinggi yang diberi tumpuan untuk menyumbang kepada pengeluaran ikan dan eksport negara.

“Atas dorongan itu, Projek Permulaan Ketiga (EPP 3) Mini Estet dan Kluster diwujudkan di bawah Program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)-Pertanian bagi memacu pembangunan rumpai laut berskala komersial yang diterajui sektor swasta.

“Di samping itu, usaha terus dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran dan produktiviti penternak sedia ada,” katanya di Putrajaya, baru-baru ini.

Munir berkata, sebanyak 10 syarikat peneraju (lapan di Semporna dan dua di Kunak) juga dilantik di bawah projek Mini Estet manakala enam kluster (lima di Semporna dan satu di Tawau) yang ditubuhkan bagi menggabungkan pengusaha kecil sedia ada secara berkelompok.

“Program ini berjaya meningkatkan pendapatan pengusaha melebihi RM1,500 sebulan melepasi tahap kemiskinan.

“Kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) mampu menghasilkan nilai tambah kepada produk rumpai laut. Antara penyelidikan yang dijalankan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membuktikan rumpai laut Semporna adalah yang terbaik kerana mengandungi kandungan gel karagenan berkualiti tinggi,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Perikanan (DOF) dengan kerjasama SIRIM dan Jabatan Standard Malaysia turut mengeluarkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) ternakan rumpai laut.

“Sehingga kini, lebih 50 ladang projek Kluster Lok Buton Semporna sudah berjaya mendapat pensijilan MyGAP,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 7:01am
d