agro

'Penuai rumpai' bersihkan lombong

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Mesin ‘penuai rumpai’ bakal merancakkan lagi aktiviti menangkap ikan air tawar di kawasan lombong terbiar di Kampung Sungai Galah, Kampung Gajah, Perak.

Ia sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk setempat yang menjadikan kawasan lombong kaya dengan ikan temakang, lohu, patin dan lampam sebagai sumber rezeki.

Ini kerana mesin berkenaan dapat mengatasi masalah keladi bunting atau Eichornia crassipes yang hidup terapung seperti kiambang memenuhi kawasan lombong terbiar hingga mengganggu aktiviti nelayan.

Mesin yang menggunakan teknologi dari Amerika Syarikat itu diterima Persatuan Nelayan Ikan Air Tawar (PENIAT) Kampung Gajah dengan nilai tajaan RM150,000 daripada syarikat UltraTrex.

Ia juga hasil jaringan kerjasama penyelidikan daripada Fakulti Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan beberapa agensi kerajaan lain.

Yang Dipertua PENIAT Sairul Nizam Mohamad Saleh berkata, mesin itu digunakan untuk membersihkan lapan lombong terbiar yang dipenuhi keladi bunting selain tumbuhan akuatik lain seperti bakung dan benta.

Menurutnya, selain menghapuskan tumbuhan berkenaan usaha itu dilakukan bagi membetulkan saluran air dan mahu mewartakan seluas hampir 400 hektar sebagai kawasan perikanan darat di Kampung Gajah.

“Kami berbesar hati menerima mesin yang mampu membantu membersihkan kawasan lombong ini bagi menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak 12 tahun lalu.

“Tumbuhan ini menjejaskan aktiviti di sini apabila ia mengganggu laluan yang menyukarkan pergerakan sampan, aliran air perlahan, jaring dan jala mudah tersangkut serta mengurangkan pembiakan ikan,” katanya ketika ditemui di lombong Kampung Sungai Galah di Kampung Gajah, baru-baru ini.

Hadir sama menyaksikan penurunan mesin itu ke dalam lombong ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah Datuk Abdullah Fauzi Ahmad Razali serta wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak Tengah.

Katanya, keladi bunting adalah cabaran utama kepada komuniti nelayan di situ yang mencari pendapatan dengan menjala ikan air tawar di lombong itu.

“Sebelum ini mereka yang mencari ikan di sini mampu memperoleh RM80 hingga RM90 manakala sekarang RM20 atau RM30 saja. Ini perbezaan ketara sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

“Pembiakan keladi bunting sangat cepat dan boleh dikatakan 99 peratus lombong di sini dipenuhi dengan tumbuhan itu dan sebab itu mesin ini sangat diperlukan,” katanya.

Menurut Sairul Nizam, mesin itu akan terapung di permukaan air dalam tempoh 40 hari dan akan beroperasi enam jam setiap hari bagi membersihkan lombong yang dipenuhi keladi bunting yang berkeluasan 180 hektar.

“Mesin ini akan mengambil tumbuhan itu dan melakukan proses cencang sebelum dibuang ke darat apabila sisa itu akan diambil pihak yang mengusahakan biogas untuk proses seterusnya,” katanya.

“Cara mematikan keladi bunting sangat mudah dengan hanya meletak dan membiarkan tumbuhan itu di darat, namun kuantiti tumbuhan itu yang terlalu banyak menyukarkan ia dilakukan dan memerlukan bantuan mesin berkenaan.

Sementara itu, nelayan, Muhaiyudin Yeop Mat Said, 79, berkata, dia bersyukur akhirnya masalah itu sudah mempunyai jalan penyelesaian yang dapat mengembalikan pulangan yang lebih berbaloi kepada nelayan.

Katanya, dia percayai ikan masih banyak di lombong itu namun disebabkan keladi bunting terlalu cepat membiak menyebabkan hasil tangkapan berkurangan.

“Keladi bunting menyebabkan ikan di sini bersembunyi di bawah tumbuhan itu yang menyukarkan tangkapan, malah jala juga mudah tersangkut.

“Dulu boleh dapat ikan dalam anggaran 15 kilogram (kg) sehari tetapi kini sekitar 10kg saja, malah pernah hanya 10 ekor ikan yang berjaya diperoleh.

“Jadi dengan ada mesin ini dapat membantu kami menghapuskan keladi bunting untuk memudahkan aktiviti menangkap ikan selepas ini,” katanya yang sudah lebih 10 tahun menjala ikan di kawasan itu.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 10:05am
d