agro

Tanaman strawberi beri kepuasan

Oleh Nor Farhani Che Ad

Bermula sebagai hobi, seorang pengusaha pokok tin tidak menyangka tanaman strawberi yang ditanam di ladang sama membuahkan hasil membanggakan.

Harussani Saari, 32, membuktikan tanaman yang biasanya tumbuh di tanah tinggi kini mampu didapati di kawasan tanah rendah dengan hasil yang seakan-akan sama.

Katanya, dia bermula dengan menanam 12 induk pokok strawberi varieti ‘Japanese Sweet Charlie’ (JSC) sebagai tanaman hiasan enam bulan yang lalu dengan hasrat hasil pokok itu dapat dinikmati ahli keluarga dan teman rapat.

“Sememangnya saya minat menanam pokok dan tumbuh tumbuhan sejak kecil diwarisi daripada arwah ayah yang dulu mempunyai kebun sayur sendiri.

“Minat itu diteruskan dengan mengusahakan tanaman pokok tin sejak 2015 dan menjadikan tanaman strawberi ini sebagai tanaman sampingan saja yang ditanam di kawasan ladang sama.

“Awalnya aktiviti menanam pokok strawberi ini hanya dijadikan sebagai hobi, namun apabila melihat hasilnya, saya mula menambah koleksi pokok strawberi dengan pelbagai varieti,” katanya yang ditemui di ladang miliknya yang dikenali sebagai Ladang Fiq Suhainis di Kampung Telaga Cina, Semeling, Sungai Petani, baru-baru ini.

Harussani berkata, dia kini mempunyai 1,600 pokok strawberi termasuk varieti Royal 80 dan Albion dengan saiz buah lebih besar dan cantik yang kebiasaannya ditanam di kawasan tanah tinggi.

Katanya, pada awalnya dia menyangka penjagaan pokok strawberi rumit, namun ternyata varieti strawberi itu mampu hidup di kawasan tanah rendah dan tahan lasak.

“Apabila saya cuba tanam tiga varieti strawberi ini, ia mudah ditanam, pokok hanya diletakkan di bawah sinaran matahari, cuma ia memerlukan jumlah air yang mencukupi,” katanya.

Katanya, kebiasaan benih pokok strawberi mengambil masa selama 50 hingga 60 hari untuk membesar dan berbuah sebelum mengambil tempoh kira-kira dua minggu sebelum dituai hasilnya.

Dia menggunakan baja organik iaitu kompos sawit yang dicampur dengan serbuk sabut kelapa bagi pokok tanaman strawberinya memandangkan dia belum begitu mahir dalam penanaman tumbuhan itu.

“Walaupun menggunakan kaedah konvensional, hasil daripada tanaman itu cukup memberi kepuasan kerana melihat hasil buah yang besar selain aroma wangi, daun lebar dan menghijau.

“Ada yang datang singgah ke ladang bertanya berkenaan kaedah penanaman, namun saya hanya boleh mengatakan menggunakan kaedah orang lama tanpa sebarang sukatan,” katanya.

Harussani berkata, hingga kini hampir setiap pokok yang ditanam sudah menghasilkan kira-kira 300 biji strawberi pelbagai saiz.

“Hasil tanaman ini turut menarik perhatian Pejabat Pertanian Daerah Kuala Muda yang memuji insiatif mengusahakan tanaman strawberi tanah rendah.

“Varieti JSC dan Royal 80 masing-masing dijual dengan RM15 sepokok sementara Albion dijual RM25 sepokok.

“Selain itu, saya turut menjual induk yang berbuah pada RM60 sepasu selain menjual hasil buah sudah masak dan turut dijadikan produk makanan seperti aiskrim,” katanya.

Dalam pada itu, Harussani kini giat dalam proses membuka sebuah lagi ladang strawberi di tanah seluas 2.3 hektar di Merbok.

“Ladang di kawasan berbukit ini akan menempatkan kira-kira 10,000 pokok strawberi pelbagai varieti.

“Menerusi bimbingan Jabatan Pertanian dan rakan kongsi yang berpengalaman luas dalam bidang penanaman pokok strawberi, projek ini diharap dapat dijalankan dengan jayanya sekali gus menjadi tarikan buat pengunjung bukan saja di kawasan berhampiran tetapi juga di luar daerah,” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 11:15am
d