agro

Pembangunan rumpai laut

Oleh Zaitie Satibi

Sabah yang terletak di kawasan Segi Tiga Batu Karang antara penyumbang kepada pengeluaran rumpai laut merah (Rhodophyceae) spesies Kappaphycus spp dan Eucheuma spp bagi penghasilan biopolimer marin iaitu karagenan terbesar selepas Filipina serta Indonesia.

Pada 2016, kira-kira 206,000 tan metrik rumpai laut (berat basah) bernilai RM44 juta (borong) dihasilkan dan perusahaan ini menjadi sumber pendapatan kepada hampir 1,200 penternak rumpai laut di kawasan pengkulturan rumpai laut di perairan Sabah seperti Semporna, Kunak, Tawau dan Lahad Datu.

Malah, kerajaan negeri juga memperuntukkan kawasan pesisiran pantainya seluas 38,000 hektar keseluruhannya dan 28,000 hektar untuk tujuan menternak rumpai laut di kawasan perairan bahagian Semporna.

Bagi memacu pembangunan rumpai laut berskala komersial yang diterajui sektor swasta, Sistem Mini Estet dan Kluster diwujudkan di bawah Program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian. Kaedah terkini berkonsepkan mini estet dijangka mampu meningkatkan pengeluaran rumpai laut negara secara drastik kepada 150,000 tan metrik (berat kering) menjelang 2020.

Mini Estet adalah satu model yang mengambil kira semua faktor di peringkat huluan. Antaranya, mengubah pengurusan secara menyeluruh, berasaskan sains dan teknologi serta mekanisme, mengurangkan kebergantungan tenaga buruh (80 peratus di pelantar, 20 peratus di laut), pengurusan kawasan dengan lebih cekap, mesra alam dan lestari, rumpai laut sebagai komoditi baru, konsep berasaskan komuniti dan pendekatan komersil serta penghasilan rumpai laut bermutu.

Sebanyak 10 syarikat peneraju iaitu lapan di Semporna dan dua lagi di Kunak dilantik kerajaan di bawah projek Mini Estet, sementara enam kluster iaitu lima di Semporna dan satu di Tawau ditubuhkan bagi menggabungkan pengusaha kecil sedia ada secara berkelompok. Program ini berjaya meningkatkan pendapatan pengusaha melebihi RM1,500 sebulan dan melepasi tahap kemiskinan.

Seiring pembangunan huluan rumpai laut, pelbagai program pembangunan dan penyelidikan (R&D) dijalankan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta agensi lain seperti SIRIM dan MARDI.

Kajian R&D ini mampu menghasilkan nilai tambah kepada produk rumpai laut. Antara penyelidikan dijalankan MARDI berjaya membuktikan rumpai laut Semporna adalah yang terbaik kerana mengandungi kandungan gel karagenan paling berkualiti.

Jabatan Perikanan dengan kerjasama SIRIM dan Jabatan Standard Malaysia turut mengeluarkan garis panduan (SOP) bagi Amalan Baik Ternakan Rumpai Laut dan hingga kini lebih 50 ladang projek Kluster Lok Buton, Semporna berjaya mendapat pensijilan Amalan Ladang Baik Malaysia (myGAP).

Namun demikian, masih ramai tidak tahu berkenaan khasiat rumpai laut yang dilihat berpotensi besar untuk dimajukan dan dikembangkan sekali gus memberi pulangan lumayan terutama kepada pengusaha di Sabah.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (MAFI) menganjurkan Nelayan Nasional (GNN): Seaweed Splash 2018, baru-baru ini sebagai satu kaedah untuk mempromosikan rumpai laut kepada umum dari segi khasiatnya, bagaimana ia diternak dan lokasi ladang penternakan yang luas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, orang ramai perlu diberikan pendedahan berkenaan kelebihan rumpai laut yang antaranya mengandungi mineral tinggi untuk kesihatan fizikal dan penjagaan kulit.

Oleh itu, kementerian giat melakukan pelbagai langkah untuk mempromosikan dan memasarkan industri rumpai laut di Sabah termasuk memastikan harga rumpai laut meningkat tinggi bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha menceburi industri berkenaan.

“Kementerian juga akan mencadangkan kepada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) untuk mengangkat rumpai laut negara yang 88 peratus diusahakan di Semporna sebagai makanan berkhasiat tinggi atau ‘super food’ Malaysia. Cadangan ini itu antara usaha untuk meningkatkan lagi promosi rumpai laut negara di peringkat antarabangsa.

“Rumpai laut dianggap ‘super food’ yang dihasilkan Malaysia adalah kerana kandungan nutrisi cukup tinggi seperti garam galian, vitamin, iodin dan peranannya sebagai bahan asas termasuk untuk membuat jeli dan keropok, di samping untuk tujuan farmaseutikal,” katanya berucap merasmikan acara mega rumpai laut berkenaan yang menghimpunkan kira-kira 5,000 penggiat industri rumpai laut negara di Dataran Reggatta Lepa Semporna.

Acara perasmian turut menyaksikan himpunan 500 bot nelayan termasuk 20 perahu tradisional bajau laut (palau) dan lebih 3,500 nelayan. Perarakan 500 bot ini adalah simbolik kepulangan nelayan daripada lautan dengan hasil tangkapan mereka. Pelbagai aktiviti diatur Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan agensi lain.

Antara aktiviti dijalankan adalah perarakan 20 bot berhias, Seaweed Paradise, Seaweed Buskers, Pertandingan Ratu Seaweed, dan cabutan bertuah. Selain itu, program lawatan rumah ke rumah nelayan terpilih melalui Program Tautan Kasih.

Rumpai laut yang lahir daripada keajaiban alam semula jadi mengandungi khasiat seperti:

A. Komposisi kimia rumpai laut begitu dekat dengan plasma darah manusia. Ini menjadikan rumpai laut sangat sesuai sebagai bahan makanan sangat baik dalam mengatur dan membersihkan darah kita.

B. Kandungan mineral yang tinggi dari laut, contohnya mengandungi kalsium 10 kali lebih tinggi daripada susu.

C. Mempunyai kandungan ‘lignans’ iaitu bahan kimia semula jadi sebagai antioksidan yang tinggi membuatkan kulit sentiasa nampak muda dan mempunyai bahan antikanser.

D. Kaya dengan klorofil yang sangat berkesan untuk proses penyingkiran kotoran atau toksin dari dalam tubuh.

E. Berkesan untuk penurunan berat badan kerana kandungan iodin yang tinggi boleh merangsang kalenjar tiroid untuk mengekalkan metabolisme badan.

F. Membantu untuk mengalkali darah kerana fungsi boleh meneutralkan kesan asid lebih tinggi terkandung dalam diet harian kita yang biasa.

G. Menawarkan perlindungan kepada tubuh daripada pelbagai toksin alam sekitar termasuk logam berat, bahan cemar dan produk sampingan radiasi dengan menukar toksin ini kepada garam yang tidak berbahaya yang dapat dinyah cerna daripada tubuh dengan mudah.

H. Kandungan nutrien

• Mineral: Natrium, kalium, protein, kalsium, magnesium, ferum, zink, mangan, kuprum, iodin.

• Vitamin: A, B1 (thiamine), B2 (riboflavin), B3 (niacin), B5 (panththenic acid), B6 (pyridoxine), B8 (Biotin), B6 (Cobalamin), C (Ascorbic Acid), E (Folic Acid)

I. Digunakan secara meluas sebagai pengemulsi) dan sebagai agen pengikat dalam industri makanan seperti sos, produk tenusu, lapisan edibel untuk keju, sosej dan perasa makanan.

Disiarkan pada: April 13, 2018 @ 11:30am
d