agro

Samun hasil sawit

Oleh Mohamad Hussin

Tindakan sebuah pasar raya di United Kingdom (UK) yang merancang mengeluarkan minyak sawit daripada produk di bawah jenama mereka sendiri dianggap perbuatan yang memalukan.

Pekebun kecil Malaysia mengutuk tindakan itu dan ia seperti yang pernah dilakukan penjajah British pada masa lampau.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Datuk Aliasak Ambia berkata, pengumuman yang dibuat itu adalah biadab dan tidak berasas sama sekali.

Beliau berkata, minyak sawit Malaysia dihasilkan secara mampan tidak seperti minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari yang akan mereka guna untuk menggantikan minyak sawit.

"Iceland perlu malu dasar baru mereka itu akan menutup periuk nasi pekebun kecil kita.

"Dasar yang dibuat pasar raya terbabit ketinggalan zaman. Biji sesawi dan bunga matahari rata-rata ditanam di negara kaya di Eropah.

"Pokok sawit pula ditanam di negara membangun yang pengeluar utamanya adalah Asia, Sub-Sahara Afrika dan Amerika Latin," katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aliasak berkata, mereka merompak daripada pekebun miskin di Afrika dan Asia untuk diberikan kepada syarikat perladangan kaya di Britain dan Eropah. Ini satu bentuk penjajahan.

"Tuduhan pasar raya terbabit ke atas minyak sawit terhadap alam sekitar adalah tidak kukuh dan amat mudah disangkal. Penyelidikan terkini oleh Kesatuan Eropah (EU) membuktikan bahawa minyak sawit bukanlah faktor utama penyahhutanan global.

"Sebenarnya, haiwan ternakan (lembu) menyumbang 10 kali ganda kepada penyahhutanan berbanding tanaman sawit. Soya juga menyumbang lebih dua kali ganda kepada penyahhutanan berkenaan.

"Tanaman sesawi pula menggunakan lebih lima kali ganda racun perosak berbanding tanaman sawit manakala pokok bunga matahari pula memerlukan empat kali ganda lebih kawasan tanah untuk menghasilkan minyak dalam jumlah yang sama seperti sawit," katanya.

Menurutnya, tiada pula tanda pasar raya berkenaan akan menyerang komoditi berkenaan yang ditanam dan dihasilkan di negara kaya di Barat.

"Ini adalah dwistandard iaitu satu peraturan memihak kepada negara kaya sementara peraturan lain pula mendiskriminasi negara miskin.

"Ini satu bentuk penjajahan," katanya.

Difahamkan, Faces of Palm Oil adalah projek bersama PKPKM, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Persatuan Penanam-Penanam Sawit Dayak (DOPPA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) membabitkan kira-kira 650,000 pekebun kecil di seluruh Malaysia.

Disiarkan pada: April 20, 2018 @ 12:30pm
d