agro

Kelebihan dua varieti baru

Oleh Mohamad Hussin

Secara umumnya industri padi dan beras negara kian berkembang pesat. Pengeluaran padi negara meningkat daripada 1.9 juta tan pada 1990 kepada 3.5 juta tan pada 2016.

Walaupun kawasan pengeluaran padi secara umumnya tidak bertambah, namun pengeluarannya terus meningkat. Antara faktor peningkatan disebabkan kemajuan inovasi dan teknologi.

Justeru, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan dua varieti baru padi iaitu padi MARDI sempadan 303 dan padi MARDI Sebernas 307.

Sejak 1969 hingga kini, MARDI sudah mengisytiharkan 47 varieti padi untuk ditanam pesawah. Setiap varieti mempunyai kelebihan masing-masing dari segi ketahanan terhadap penyakit, hasil dan rasa.

Kepelbagaian genetik dalam ekosistem penanaman padi ini penting untuk memberi lebih pilihan varieti kepada pesawah selain memastikan bekalan makanan ruji negara sentiasa terjamin.

Difahamkan, lebih 90 peratus daripada kawasan tanaman padi di Malaysia atau 350,000 hektar menggunakan varieti padi yang dihasilkan MARDI.

Timbalan Pengarah Program Padi Inbred Pusat Penyelidikan Padi dan Beras MARDI, Dr Mazidah Mat berkata, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) lebih 10 tahun berjaya menghasilkan dua varieti padi baru ini.

Beliau berkata, varieti padi Sempadan 303 hasil R&D Pegawai Penyelidik Kanan MARDI Seberang Perai, Elixon Sunyan sementara varieti padi Sebernas 307 hasil R&D Timbalan Pengarah MARDI Pulau Pinang, Amirrudin Mokhtar.

“MARDI Sempadan 303 berpotensi memberikan hasil yang tinggi, rintang kepada penyakit karah daun dan sederhana rintang kepada penyakit karah tangkai serta sederhana rintang kepada bena perang.

“Ia juga kurang dipengaruhi faktor persekitaran menyebabkan ia sesuai ditanam di kebanyakan kawasan dan boleh disyorkan untuk kawasan kurang subur.

“MARDI Sempadan 303 ini memberi cita rasa nasi yang sesuai kepada pengguna tempatan,” katanya yang ditemui di plot tanaman varieti padi berkenaan di Kawasan Pembangunan Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, Tanjung Karang, Selangor, baru-baru ini.

Dr Mazidah berkata, MARDI Sempadan 303 adalah sempena nama kawasan ini dan ia dibangunkan melalui kacukan varieti MR 256 dengan varieti ulangan MR 253 bermula sejak 2005.

“Ia diikuti dengan beberapa siri penilaian di beberapa kawasan jelapang utama negara yang memakan masa 25 musim penanaman atau lebih 12 tahun.

“Kacukan awal dilakukan pada musim utama seterusnya melalui proses pemilihan pukal dan pedigri serta penilaian awal hasil di MARDI Seberang Perai sebelum ia dimajukan ke percubaan penyesuaian di pelbagai lokasi dan ujian penentusahan setempat.

Varieti padi ini mempunyai ciri-ciri penting seperti tempoh matang yang agak singkat iaitu antara 104 hingga 106 hari dan mampu memberi hasil tuaian tertinggi sebanyak 10 tan/hektar,” katanya.

Menurutnya, varieti berkenaan mempunyai daun pengasuh yang pendek dan tegak selain batang panjang, sekali gus memberikan purata ketinggian pokok 120.3 sentimeter (sm) berbanding MR 263 (107.8 sm).

“Panjang tangkai sekitar 28.3sm sementara peratus pengisian biji bernas per tangkai melebihi 70 peratus.

“Kelebihannya dapat dilihat pada biji padi yang berat iaitu 1,000 bijinya seberat 28.2 gram (g) berbanding MR 263 (25.3 g),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi varieti padi MARDI Sebernas 307 pula diperkenalkan untuk meningkatkan hasil dan sebagai alternatif kepada varieti padi sedia ada.

Katanya, ia mempunyai potensi hasil yang tinggi, sederhana rintang kepada penyakit karah tangkai dan serangga perosak bena perang serta mempunyai mutu beras dan cita rasa nasi yang baik.

“Varieti ini sesuai ditanam di kebanyakan kawasan jelapang padi utama. Ia hasil kacukan antara induk varieti padi MR 256 dan P 493. Hasil boleh dituai dalam tempoh antara 107 hingga 110 hari sementara potensi hasil tertinggi dicapai adalah 10 tan/hektar.

“Proses pembangunan varieti bermula daripada kacukan hingga penanaman dengan peningkatan skala adalah 22 musim. Kacukan awal bermula pada musim utama 2006/2007 dan sudah melalui beberapa musim penilaian, seterusnya diikuti dengan peningkatan skala pada musim utama 2017/2018,” katanya.

Dr Mazidah berkata, varieti ini dikategorikan sebagai pokok sederhana tinggi, tegak dan tegap dengan daun pengasuh sederhana panjang.

“Morfologi pokok mempunyai ketinggian 114.2sm dan panjang tangkainya lebih panjang daripada MR 263 iaitu 28.5sm.

“Begitu juga dengan peratus bernas dan bilangan biji setangkai di mana berat bagi 1,000 biji sebanyak 32.1g turut menyumbang kepada potensi hasil yang tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 12:52pm
d