agro

Tingkat mutu lembu KK Elit

Oleh Mohamad Hussin

Kadar pengeluaran daging lembu di Malaysia masih pada tahap rendah dengan anggaran 20 peratus pada 2010 sementara baki keperluan daging itu diimport dari luar negara terutama Australia, New Zealand, India dan Thailand.

Statistik menunjukkan unjuran permintaan daging meningkat daripada 1.4 juta tan metrik pada 2010 kepada 1.8 juta tan metrik menjelang 2020 dengan pertumbuhan 2.4 peratus setahun.

Pengeluaran daging diunjurkan meningkat daripada 1.6 juta tan metrik pada 2010 kepada 2.1 juta tan metrik pada 2020 dengan pertumbuhan 2.7 peratus setahun.

Tahap sara diri (SSL) bagi daging lembu di Malaysia ketika ini adalah 23 peratus dan pelbagai strategi dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran daging lembu ke SSL yang lebih tinggi menjelang 2020.

Strategi pengimportan sebelum ini bagi menampung kekurangan pengeluaran tempatan tidak berhasil dengan peningkatan harga lembu import dan persaingan dengan pembeli dari negara lain.

Peningkatan baka yang diimport tidak berjaya kerana tak sesuai dengan persekitaran dan makanan tempatan sedia ada.

Menyedari hakikat itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengambil inisiatif menjalankan kajian manipulasi makanan dan pembiakan terpilih.

Kajian yang dimulakan sejak 2006 berjaya melahirkan baka lembu Kedah-Kelantan (KK) Elit atau lebih dikenali dengan nama lembu KK adalah lembu pedaging tempatan yang diternak dalam kalangan penternak berskala kecil dan sederhana.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor berkata, MARDI melalui penyelidikan berusaha menghasilkan baka ternakan seperti lembu, kambing, biri-biri dan ayam kampung.

Beliau berkata, sejak 1970-an beberapa baka dibangunkan ialah baka lembu Brakmas, Charoke, kambing BOER dan Savannah, biri-biri Badorlin serta Dorper .

“Proses penghasilan sesuatu baka ternakan yang stabil dan berkualiti bukannya mudah kerana ia memerlukan kepakaran, bilangan ternakan yang banyak, masa dan tinggi kosnya.

“Selain itu, umum mengetahui kos pengurusan ladang ternakan adalah tinggi. Antara sebabnya adalah kerana kos pengimportan bahan makanan.

“Bagi mengatasi masalah ini, MARDI menghasilkan pelbagai jenis makanan terbaik untuk membantu penternak tempatan. Ia termasuk mengkaji dan membangunkan foraj serta menggunakan sumber tempatan seperti pelepah kelapa sawit, jerami padi dan hampas jagung.

“Ia untuk menghasilkan makanan ternakan dalam bentuk kiub, palet, silaj, hay, bale dan lain-lain,” katanya sempena Pelancaran Baka Lembu KK Elit dan Lembah Pedaging Kemaman di Kampung Pasir Gajah, Chukai, Terengganu, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Hadir sama, Ketua Pengarah DVS Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Mohamad Roff berkata, aktiviti penyelidikan bagi meningkatkan mutu baka, penyimpanan rekod secara teratur, pemilihan baka dan induk yang teliti serta penilaian terhadap fenotip dan genotip seterusnya pelaksanaan pembiakan secara terancang mampu menambah baik prestasi baka KK.

“Kajian ini berjaya melahirkan baka KK Elit yang ditingkatkan beratnya hingga mencapai berat maksimum antara 430 hingga 460 kilogram (kg) bagi jantan sementara 220 hingga 250kg bagi betina pada umur tiga hingga empat tahun.

“Kadar kenaikan berat badan harian juga berjaya ditingkatkan daripada 300g/hari kepada 450g/hari. Kajian yang dijalankan ini membuktikan baka tempatan (baka KK) dapat ditingkatkan berat badannya setanding dengan lembu baka temperat (negara Barat) dengan komitmen berterusan kerajaan dalam tempoh waktu panjang.

“Pembangunan baka tempatan KK perlu diberi perhatian serius dengan mengembangkan populasi bagi mengelak kepupusan dan menaik taraf prestasi baka melalui pemilihan ternakan terancang,” katanya.

Menurutnya, dengan menggunakan teknologi, dari pejantan baka KK Elit ini, koleksi semen (air mani) juga dibuat dan boleh digunakan untuk permanian beradas (AI) untuk memperbanyakkan populasi KK sedia ada dengan cepat.

“Menerusi penggunaan bahan air mani pejantan KK Elit, kualiti populasi lembu KK yang akan dibangunkan di lembah pedaging Kemaman ini boleh menjadi populasi lembu KK yang terbaik di Malaysia.

“Baka lembu KK Elit ini berpotensi untuk merubah senario penternakan lembu pedaging Malaysia kerana sifatnya lebih baik dan populasi tempatan yang ada sekarang tetapi mengekalkan daya ketahanan baik terhadap alam persekitaran.

“MARDI akan terus melaksanakan penyelidikan bagi menghasilkan teknologi baru terutama varieti dari semasa ke semasa dan mengambil pendekatan proaktif menyelesaikan masalah yang timbul di lapangan untuk faedah penternak.

“Kami akan terus menjalankan kerjasama dengan semua pihak dari jabatan dan agensi pembangunan pertanian di peringkat Persekutuan dan negeri termasuk penternak supaya akan terus dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti,” katanya.

Katanya, daerah Kemaman mempunyai populasi lembu KK terbanyak di Malaysia iaitu 18,000 ekor adalah kawasan yang paling tepat untuk dibangunkan sebagai sumber ternakan pedaging yang ulung sekali gus akan dibangunkan sebagai Lembah Pedaging Kemaman.

Kebaikan baka lembu KK Elit

• Tahan terhadap cuaca persekitaran (panas dan lembap) dan serangan penyakit tempatan

• Kadar kematian yang rendah iaitu kurang daripada dua peratus

• Memiliki ciri kadar kelahiran sangat tinggi dengan melebihi 90 peratus setiap tahun

• Kos pengeluaran yang rendah kerana baka KK produktif dengan kualiti makanan yang sederhana

• Saiz badan kecil (160 hingga 220kg pada umur matang 24 bulan) dan mampu dibeli dengan harga yang lebih rendah berbanding lembu import.

• Pemeliharaan lembu KK secara integrasi di bawah kelapa sawit adalah salah satu pendekatan terbaik apabila melalui sistem ini, baka KK boleh menunjukkan prestasi baik dengan kos penternakan yang sangat minimum berbanding sistem fidlot.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 3:16pm
d