agro

Bimbing usahawan baru

Oleh Faliq Lajim

Bukan koperasi sembarangan! Itu yang boleh disimpulkan buat dua koperasi di Selangor yang menjalinkan kerjasama untuk melahirkan usahawan berjaya di negeri itu.

Mana tidaknya, Koperasi Nippon Electric Glass Malaysia (NEGM) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) bekerjasama dengan Hijrah Selangor dan Chommel Areca menyediakan ruang serta peluang niaga kepada orang ramai.

Selain itu, peniaga kecil atau penjaja yang ingin menaik taraf perniagaan atau mereka yang ingin menceburi bidang terbabit di seluruh Selangor kini berpeluang mendapatkan pelbagai kelengkapan jualan barang perniagaan dengan harga menarik.

Ahli Lembaga Pengarah NEGM, Azmir Abdullah berkata, pihaknya menawarkan ruang di premis milik koperasi berkenaan kepada usahawan yang berminat pada harga rendah.

“Kami mempunyai premis selesa yang menerima kunjungan penduduk setempat untuk menjamu selera dan beriadah bersama keluarga selain turut menawarkan peluang kepada usahawan untuk menyertai pasaran sedia ada.

“Premis yang dimaksudkan ialah Kedai Serbaneka D Variety di Taman Berjaya Seksyen 32 Shah Alam yang turut mendapatkan pelbagai barang keperluan kafe lengkap dengan pendingin hawa dan kemudahan wifi percuma.

“Jadi kami datang satu idea untuk membuat konsep sewaan rak kerana ia lebih praktikal. Kadang-kadang mereka ada produk tetapi tidak tahu bagaimana cara pasarkan,” katanya.

Beliau berkata, peniaga biasanya dibebankan dengan tapak sewa yang mahal dan perlu membayar gaji pekerja menyebabkan mereka takut untuk berniaga namun di sini mereka hanya perlu bayar sewa dan tidak perlu membayar gaji pekerja.

“Semuanya ‘self-pickup’ dan bayar di kaunter. Rak sewa berkenaan ditawarkan serendah RM7 hingga RM10 sehari mengikut harga dan saiz produk yang mereka mahu pasarkan.

“Kita mahu mewujudkan peluang ekonomi dalam kalangan orang tempatan khususnya. Sekarang untuk membuka sebuah kedai runcit bukannya senang kerana terlalu banyak persaingan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Chommel Areca, Abdul Malik Savai berkata, melalui kerjasama itu, orang ramai berpeluang menyertai program Hijrah Selangor yang membuka ruang kepada mereka untuk menjalankan perniagaan.

Malah pihaknya juga kini mengadakan promosi menerusi pameran dan bersedia membimbing individu berminat untuk berniaga membuat permohonan kepada Hijrah Selangor.

“Kami menyediakan pelbagai kemudahan termasuk bantuan modal kepada peserta yang akan dibimbing hingga berjaya.

“Sepanjang pameran, kita menawarkan pelbagai kelengkapan peralatan dapur khusus untuk peniaga kafe, restoran, kedai makan serta pasar malam pada harga yang menarik dan ia turut terbuka kepada orang ramai,” katanya.

Abd Malik berkata, orang ramai diharap dapat mengambil peluang sempena pameran itu untuk menceburi bidang perniagaan kerana skim pinjaman yang disediakan kerajaan negeri selangor melalui Hijrah Selangor mengenakan syarat mudah.

“Saya harap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan maklumat mengenainya melalui laman sesawang http://www.hijrahselangor.com.

“Selain peralatan makanan pameran kenderan saji dan trak makanan turut diadakan dan pengunjung yang berminat akan diberikan penerangan ringkas oleh kakitangan bertugas,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2018 @ 1:06pm
d