agro

Lada Sarawak makin dikenali

Oleh Omar Ahmad

Lada Sarawak semakin mendapat sambutan apabila permintaan terhadap komoditi itu meningkat bukan saja dari Semenanjung, malah turut diterima dari luar negara.

Salah satu jenama Bumiputera lada Sarawak ialah Nang Ori yang sentiasa mendapat permintaan ramai.

Pengarah Nang Ori, Awaeang Anak Kwasin berkata, sejak ditubuhkan pada November 2016, lada Sarawak berjaya menembusi pasaran tempatan dengan menempatkan 12 produk berasaskan lada Sarawak di pasar raya besar di seluruh negara.

Katanya, kini pihaknya mendapat permintaan dari China dan Hong Kong.

“Perkembangan jenama ini banyak dibantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi pelbagai kursus penjenamaan, pelabelan dan pemasaran.

“Pada 2016, mulanya saya hanya ada satu impian untuk membawa produk lada ini ke pasaran luar dari Sarawak. Ini kerana saya dan keluarga membesar dengan penanaman lada Sarawak.

“Saya rasa sayang kalau lada Sarawak yang berkualiti ini dirasai orang Sarawak saja. Tapi, pada masa itu, saya tidak tahu ke mana hendak dituju bagi memperkenalkan dan memasarkan produk berkenaan.

“Lalu saya ke pejabat KPDNHEP cawangan Sarawak dan salah seorang pegawai di situ membantu saya untuk mendapatkan kursus dan seterusnya memperoleh geran,” katanya yang ditemui pada Program Citarasa Malaysia di Aeon Mall Bukit Indah, Johor Bahru.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah KPDNHEP Johor, Khairul Anwar Bachok.

Awaeang berkata, ketika pertemuan dengan pegawai terbabit, dia hanya membawa sebotol lada Sarawak yang ditanam tanpa ada label atau jenama.

“Saya datang tangan kosong, cuma bawa lada Sarawak dalam botol mineral. Saya tanya macam mana hendak bangunkan lada ini dan dipasarkan ke luar negara?” katanya yang menjadi wanita berketurunan Dayak pertama memperoleh sijil kelayakan mengeksport lada Sarawak ke luar negara.

Menurutnya, bukan mudah untuk dia memenuhi permintaan terutama dari segi bekalan.

“Bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan, saya mengeluarkan tiga tan metrik lada Sarawak dalam tempoh sebulan.

“Mungkin pada masa akan datang, saya akan dapat membekalkan permintaan lada Sarawak ke China dan Hong Kong. Mungkin pengeluaran lada Sarawak akan bertambah sehingga 10 tan metrik sebulan.

“Kami juga sedang dalam proses pengubahsuaian dua kilang di Kuching, Sarawak dan Hab Halal, Melaka sebagai memenuhi syarat amalan pengilangan baik (GMP) untuk memenuhi permintaan dari China dan Hong Kong.

“Syarikat memang ada tanam lada Sarawak, tetapi ia tidak mencukupi. Justeru, kami mendapat kerjasama dari orang kampung di sekitar Kota Padawan, Serian dan Kuching untuk membekalkan lada Sarawak,” katanya.

Awaeang berkata, pokok lada Sarawak ini mengeluarkan lada hitam dan juga lada putih.

“Untuk lada hitam, prosesnya lebih mudah kerana ia hanya perlu dijemur di bawah cahaya matahari selama beberapa hari sehingga bertukar warna kehitaman.

“Manakala bagi proses lada putih, ia sedikit rumit dengan merendam buah lada ke dalam air dalam tempoh hingga lebih seminggu untuk mengeluarkan lapisan kulit sebelum bijinya dikeringkan.

“Lada Sarawak mempunyai khasiat tersendiri antaranya membuang angin dan toksin dalam badan, mengawal selera makan, melawaskan, memanaskan badan dan melazatkan makanan,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2018 @ 2:27pm
d